Menakluk Cameron Higlands dari sudut berbeza

Menakluk Cameron Higlands dari sudut berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANORAMA indah Cameron Highlands yang dihiasi bukit-bukau, gunung dan ladang teh menghijau bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah turut memikat komuniti pelari denai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak 2016, destinasi itu ‘dibanjiri’ pelari denai dari dalam dan luar negara untuk menyahut cabaran Cameron Ultra Trail (Cultra).

Jumlah penyertaan turut meningkat saban tahun, dengan edisi ke-10 menghimpunkan seramai 3,600 peserta dari 33 negara.

Cultra membuka ruang kepada peserta untuk menguji ketahanan fizikal dan mental sambil meneroka laluan hutan, bukit serta denai yang memperlihatkan sisi Cameron Highlands yang jarang dilihat pelancong biasa.

Berbeza dengan pelancong yang hadir untuk menikmati cuaca sejuk dan keindahan landskap tanah tinggi, pelari Cultra perlu menempuh pelbagai cabaran yang menguji kemampuan diri, termasuk laluan teknikal, perubahan elevasi, cuaca tidak menentu dan keadaan denai yang boleh berubah dalam sekelip mata.

Lebih penting, penyertaan dalam kategori ultramaraton bukan sesuatu yang wajar dilakukan sekadar mengikut trend atau kerana Fear of Missing Out (FOMO).

Saya tidak terkecuali apabila mengambil keputusan untuk menyertai kategori 100 kilometer (km) dan ia merupakan percubaan pertama sepanjang lebih 15 tahun menyertai acara larian.

Saya tahu cabarannya bukan kecil kerana terdapat tiga gunung utama perlu ditempuh, iaitu Jasar, Brinchang Barat dan Berembun.

Apatah lagi apabila hujan lebat sehari sebelum perlumbaan menjadikan cabaran lebih sukar kerana perlu menempuhi laluan berlumpur.

Antara cabaran utama ialah pendakian Gunung Brinchang Barat yang berketinggian sekitar 6,664 kaki.

Laluannya curam dan teknikal, dengan trek yang berselang-seli antara pendakian dan penurunan sebelum tiba di kawasan Mossy.

Malah, peserta perlu melalui kawasan ladang teh sebelum meneruskan pendakian semula ke Gunung Brinchang Barat.

Banyak lagi cabaran yang menanti sepanjang laluan 100 km, namun, perjuangan saya terhenti di kilometer 40 atau dalam erti kata lain did not finish (DNF).

Baki 60km itu mengajar saya satu perkara penting, setiap keputusan untuk meneruskan perlumbaan perlu dibuat dengan mengambil kira keadaan fizikal, mental, cuaca, laluan dan risiko keselamatan.

Hujan tambah cabaran

Bagi pelari denai, keadaan cuaca boleh mengubah keseluruhan karakter sesuatu perlumbaan.

Menurut Syarifah Balqis Syed Hamzah, yang menduduki tempat ketiga bagi acara Wanita veteran 60KM, keadaan laluan ketika perlumbaan menjadi sangat berlumpur, khususnya di sekitar

Berembun dan Robinson, selepas hujan turun dengan lebat.

“Ada beberapa bahagian yang terlalu licin sehingga berlari bukan lagi satu pilihan. Ketika menuruni Berembun, kami terpaksa menggelongsor kerana hampir mustahil untuk kekal berdiri,” katanya.

Menurutnya, pendakian semula di Robinson pula memberikan cabaran berbeza apabila laluan curam dan berlumpur menyebabkan pelari terpaksa menggunakan tali untuk naik.

“Walaupun keadaannya sangat sukar, pengalaman itu sebenarnya menyeronokkan. Boleh dikatakan satu mud fest yang tidak akan dilupakan.

“Ia mencabar, kotor dan memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi, tetapi keadaan ekstrem itulah yang menjadikan pengalaman Cultra begitu istimewa dan sukar dilupakan,” katanya.

Berbeza dengan pelari dari Iceland, Kristjan Chapman berkata, tidak semua laluan mencabar dan teknikal.

Pemegang rekod baharu kategori 100km dengan catatan 13 jam 14 minit itu berkata, terdapat laluan yang lebih mudah untuk berlari, termasuk trek Cultra.

“Setiap laluan tetap mempunyai cabaran tersendiri sama ada daripada cuaca panas dan kelembapan tinggi, atau keadaan laluan yang masih semula jadi.

“Di Malaysia, kita perlu sentiasa bersedia dengan keadaan yang tidak dijangka kerana itu antara perkara terpenting apabila melakukan larian denai di sini,” katanya.

Chapman mula berlari pada 2019 ketika tahun pertama di universiti sebelum serius dalam sukan itu pada 2021 menerusi maraton pertamanya, dengan catatan 2 jam 56 minit.

Pada 2023, dia menyertai perlumbaan denai 50km pertamanya di Belanda.

Katanya, pelari jalan raya juga boleh beralih kepada larian denai tanpa tempoh latihan lama, namun perlu menyesuaikan diri dengan cabaran fizikal dan mental termasuk perubahan elevasi, cuaca serta larian dalam keadaan gelap.

3,600 pelari

Pengarah Media dan Komunikasi Bolt Events Asia, Azlihana Abdul Rahim berkata, kejayaan terbesar Cultra bukan semata-mata diukur melalui peningkatan jumlah penyertaan, tetapi komuniti yang dibina sepanjang sedekad penganjurannya.

“Dari hanya 850 peserta pada edisi pertama, kini kami menghimpunkan 3,600 pelari sekali gus membina sebuah komuniti yang terus berkembang,” katanya.

Cultra juga menjadi antara acara yang menyumbang kepada sektor pelancongan Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN