Pembukaan semula Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah peluang baik untuk ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menembus kembali maruah mereka setelah amat tercelar angkara sekelompok yang tanpa malu melacurkan diri dalam politik negara semata-mata untuk memperoleh keuntungan peribadi dan parti mereka.
Sehubungan itu, tidak dapat dinafikan pandangan awam terhadap mereka adalah buruk sekali sehingga terbawa-bawa kepada yang tekun berkhidmat untuk rakyat. Ini kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit.
Dalam pada mereka ini mengejar kepentingan politik masing-masing, kekadang secara tidak berprinsip, seluruh sistem demokrasi negara didapati terjejas teruk. Ini kerana sepatutnya mereka ini yang memastikan kebajikan rakyat terjaga pada setiap masa, didapati senantiasa hanya berminat untuk melakukan sebarang perkara untuk kebaikan diri sendiri dan parti politik mereka.
Sesetengah mereka ini tidak dapat dinafikan adalah haiwan politik, iaitu bertindak hanya untuk memperkukuh kedudukan diri sendiri dan parti walaupun caranya amat licik dan memecahbelahkan. Dengan kata lain, haiwan politik ini bukan sahaja keji dan zalim, mereka juga terlibat dengan amalan tidak berakhlak. Ini dapat dilihat pada tingkah laku tidak jujur dan penuh helah mereka kepada rakyat melalui pelbagai jajaran politik baharu.
Sehubungan itu, tindakan haiwan politik ini terang-terangan memperlihat mereka secara sengaja mahu menjahanamkan moraliti apabila melakukan sesuatu yang hina setelah diberikan habuan, sama ada dalam bentuk kebendaan atau manfaat peribadi. Sifat mahu dipengaruhi untuk melakukan sesuatu yang hina lagi tidak berakhlak untuk kebaikan diri sendiri dan parti adalah bukan sahaja perbuatan amat menjijikkan, ia tidak bermaruah langsung. Dengan ini, para haiwan politik adalah mereka yang mudah didorong atau cepat menawar diri untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan etika moraliti dan politik.
Sebaliknya rakyat mahu melihat ahli politik kita bertindak sebagai negarawan dalam pengertian selaku pemimpin politik yang dihormati kerana tidak melakukan sesuatu untuk hanya diri sendiri dan parti mereka bagi mendapat kuasa atau terus berkuasa. Mereka mahu ahli politik menganjurkan apa-apa sahaja yang baik untuk kepentingan awam melalui kedudukan mereka dalam politik. Dengan kata lain, ahli politik yang bertindak sebagai negarawan didapati tidak sesekali berganjak daripada kebenaran pokok untuk berbakti kepada negara. Dengan ini, mereka mempunyai nilai teras dan tidak sesekali berubah pendirian untuk hanya mendapat tempat dalam bidang politik.
EGO
Ini berbeza sekali dengan ahli politik yang tiada sekelumit pun ciri negarawan pada mereka, yang selalu berfikir tentang ego mereka sahaja agar dicalonkan semula semasa pilihan raya dan tidak banyak berfikir untuk kebaikan pengundi di kawasan yang diwakili mereka. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila mereka sering tidak konsisten tentang sesuatu isu, lebih-lebih lagi apabila menjelang pilihan raya. Dengan ini, mereka didapati banyak berjanji tetapi tidak dapat menunaikannya apabila dilantik. Ini kerana mereka hanya bertindak atas nama kuasa untuk diri sendiri dan parti mereka dan tidak pun untuk rakyat dan negara.
Ini tidak sama dengan negarawan yang konsisten dengan pegangan mereka dan akan melakukan apa-apa sahaja dalam bidang kuasa mereka bagi perkara yang diyakini baik untuk rakyat dan negara. Sehubungan itu, negarawan mempunyai visi kenegaraan yang jelas dan mengetahui perkara yang perlu dicapai sewaktu diberikan amanah untuk berbakti. Untuk itu, mereka mengetahui masalah yang akan dihadapi dan penyelesaian untuk mencapai apa-apa yang diyakini bestari bagi kepentingan negara.
Dalam pada itu, mereka akan berusaha untuk mewujudkan muafakat dengan rakyat bagi menyokong hasrat kenegaraan mereka itu.
Visi ahli politik dan negarawan adalah sama. Hanya kepentingan mengenai kuasa dan moraliti yang membezakan mereka. Untuk ahli politik, ia didapati sangat tertumpu kepada keuntungan peribadi dan kelangsungan parti. Dengan ini sering didapati kepentingan kuasa menyebabkan mereka menggunakan cara yang boleh dipertikai dari segi kebijaksanaan selain akhlak. Ini berbeza dengan negarawan yang bukan sahaja yakin dengan perkara yang dibawa, mereka akan terus-terusan berhujah dengan bernas untuk memperoleh sokongan terhadap sesuatu gagasan walaupun ia tidak popular.
Mahatma Gandhi, Martin Luther King Jr. dan Nelson Mandela adalah antara negarawan hebat bukan sahaja di negara mereka tetapi ciri positif yang ada pada kepimpinan mereka telah merebak ke seluruh dunia dan didapati relevan sepanjang zaman. Sehubungan itu, mereka ini didapati mempunyai visi jelas, kudrat yang tidak mengenali lelah, pemahaman baik, ketegasan lantang, keinsafan tinggi dan keberanian luar biasa untuk kebaikan rakyat dan negara.
Dalam konteks kenegarawanan ini, ahli politik di negara ini dipohon untuk mula melakarkan kerangka positif di Parlimen dan DUN setelah ia dibuka semula nanti bagi mewujudkan visi yang penuh dengan masa hadapan cerah bagi Malaysia, dan bukan berkempen secara negatif untuk menjatuhkan pihak lawan, lebih-lebih lagi pada waktu rakyat dan negara sedang mengalami krisis genting. Ini penting untuk dihormati semula selain terus dihargai kepimpinan mereka dalam selalu mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.











