PETALING JAYA: Tan Cheng Hoe bersedia untuk mencurahkan segala tenaga dan pengalaman kepada skuad kebangsaan sekiranya diberi kepercayaan mengendalikan pasukan secara tetap.
Ketika ini, jurulatih berusia 58 tahun itu dilantik secara sementara dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menentukan kedudukannya bersama skuad kebangsaan.
Berdasarkan prestasi semasa, Cheng Hoe cemerlang dalam tugasannya apabila membawa Harimau Malaya menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga dengan rekod tanpa bolos.
“Macam posisi saya, saya serah kepada FAM untuk buat keputusan kerana saya selagi apa yang saya mampu, saya akan curahkan segala penat lelah kita kepada pasukan kebangsaan ini,” katanya.
Kelmarin, Cheng Hoe membantu Harimau Malaya menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), di Jakarta, Indonesia menerusi jaringan Fergus Tierney.
Menurut Cheng Hoe, kejayaan menamatkan kempen di tempat ketiga turut menjadi hadiah kepada penyokong yang hadir memberi sokongan di Indonesia selain mereka yang berdiri teguh di belakang Harimau Malaya.
“Ini adalah kemenangan kepada semua, kemenangan kepada para penyokong yang datang ke Indonesia atau yang sentiasa menyokong kita di tanah air kita,” tambahnya.
Namun, Cheng Hoe mengingatkan kejayaan itu bukan noktah kerana Harimau Malaya perlu terus membina pasukan yang lebih baik bagi menghadapi cabaran seterusnya.
“Sudah tentu, perjalanan kita masih lagi jauh, masih lagi perlu membentuk pasukan yang lebih baik pada masa akan datang. Untuk kita melangkah lebih jauh, kita kena perlu lebih bekerja keras untuk pastikan kita lagi di landasan yang terbaik satu hari nanti,” katanya.
Lebih menarik, Cheng Hoe melihat kejayaan itu bukan hasil kebergantungan kepada individu atau pemain bintang, sebaliknya lahir daripada semangat satu pasukan yang dibentuk seperti sebuah keluarga.
“Kejayaan pasukan datang daripada semangat bermain sebagai satu pasukan, sebagai satu famili yang inginkan kemenangan, dahagakan kemenangan.
“Kami benar-benar fokus bukan sahaja di dalam padang, tetapi pada masa sama kita pun begitu fokus di luar padang, bergaul sebagai satu keluarga yang ada cita-cita besar,” katanya. – UTUSAN











