PM mahu peranan ibu bapa, PIBG diperkasa tangani kes buli 

PM mahu peranan ibu bapa, PIBG diperkasa tangani kes buli 

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peranan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu diperkasakan dalam usaha menangani kes buli di sekolah, terutama kejadian yang berlaku di luar waktu persekolahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab menangani isu berkenaan bukan hanya terletak pada guru dan pihak sekolah, sebaliknya memerlukan penglibatan lebih aktif ibu bapa serta PIBG.

“Apakah peranan PIBG? Peranan ibu bapa selain daripada guru dan sekolah, kerana banyak juga kejadian yang berlaku selepas waktu persekolahan.

“Banyak PIBG yang bergerak, tetapi kalau kita lihat, penyertaan ibu bapa agak terbatas sekali walaupun PIBG itu banyak,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) di Dewan Rakyat, hari ini.

Aminolhuda meminta Perdana Menteri menjelaskan langkah bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam mesyuarat PIBG, termasuk memastikan mereka hadir dan mendengar sendiri perkara yang berlaku di sekolah.

Dalam hal ini, Perdana Menteri turut mengusulkan supaya beberapa bantuan diserahkan secara terus kepada ibu bapa di sekolah bagi menggalakkan kehadiran mereka dan meningkatkan libat urus dengan guru.

Katanya, langkah itu sekurang-kurangnya dapat mewujudkan ruang interaksi lebih dekat antara ibu bapa dengan guru, selain meningkatkan penglibatan mereka dalam hal berkaitan pendidikan dan kebajikan anak-anak.

“Kita minta diluluskan kepada ibu bapa di sekolah. Sekurang-kurangnya mewajibkan ibu bapa datang ke sekolah dan di situ ada engagement dengan guru-guru.

“Dan guru hanya cikgu, saya pun guru. Jadi kalau panggil saya guru, saya bangga,” katanya secara berseloroh.

Anwar turut menyentuh aspek pendidikan dan ilmu tidak boleh dipisahkan daripada soal akhlak dan adab, termasuk dalam usaha menangani isu buli.

Katanya, buli fizikal, lisan, bukan lisan dan siber merupakan antara ujian besar yang perlu ditangani secara bersama oleh sekolah, guru, ibu bapa serta PIBG.

“Pendidikan ilmu, pencerahan, tidak boleh terlepas daripada soal akhlak, soal adab. Tapi ini satu ujian besar kepada kita.

“Apakah tidak ada perubahan? Ada. Umpamanya tahun ini, memang tahun-tahun sebelumnya, dari segi laporan kes salah laku buli dari Januari sampai Ogos 2026, sebanyak 5,681. Itu yang dilapor. Tentunya lebih besar daripada yang tidak lapor,” katanya.

Beliau berkata, jumlah berkenaan menunjukkan perlunya kesedaran masyarakat dan ibu bapa terus dipertingkatkan bagi membantu mengekang pelbagai bentuk buli.

“Ini maknanya buli fizikal boleh, lisan, buli bukan lisan, buli siber. Dan kita patut tingkatkan lagi kefahaman masyarakat dan ibu bapa supaya dapat mengekang perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN