Negeri Sembilan muncul hab perindustrian baharu

Negeri Sembilan muncul hab perindustrian baharu

KEDUDUKAN strategik berhampiran Greater Kuala Lumpur menjadikannya muncul sebagai kuasa perindustrian baharu negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negeri Sembilan berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai kuasa perindustrian baharu negara, didorong kedudukannya yang hampir dengan Greater Kuala Lumpur serta pembangunan infrastruktur yang semakin pesat.

RHB Research berkata, perkembangan berkenaan dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai tinggi dan teknologi, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pemaju hartanah, kontraktor serta pemain infrastruktur.

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya mengekalkan pandangan ‘overweight’ terhadap sektor hartanah dan infrastruktur, dengan tanah perindustrian yang kompetitif, peningkatan kesalinghubungan serta perkembangan ekosistem semikonduktor dikenal pasti sebagai pemangkin utama kepada fasa pembangunan seterusnya di negeri itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Negeri Sembilan muncul sebagai sempadan pertumbuhan perindustrian baharu Malaysia, memanfaatkan kedudukan strategiknya yang berhampiran Greater Kuala Lumpur, tanah perindustrian yang kompetitif, infrastruktur yang semakin baik dan ekosistem semikonduktor yang berkembang,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut RHB Research, sektor pembuatan menyumbang 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sembilan pada 2025, kedua tertinggi selepas sektor perkhidmatan sebanyak 53.3 peratus.

Asas perindustrian yang kukuh itu membantu Negeri Sembilan menarik RM3.4 bilion pelaburan asing yang diluluskan dalam separuh pertama 2026, berbanding RM4.4 bilion bagi keseluruhan 2025.

Aliran pelaburan itu turut disokong taman perindustrian seperti SPD Tech Valley dan Negeri Sembilan Semiconductor Valley, yang merupakan sebahagian daripada Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0.

Koridor pembangunan berkenaan meliputi kira-kira 153,375.8 hektar di Seremban dan Port Dickson, sekali gus menyediakan platform bagi pengembangan aktiviti perindustrian pada masa depan.

Dari perspektif hartanah, RHB Research berkata, Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia), Matrix Concepts Holdings Bhd (MCH) dan IJM Corporation Bhd antara syarikat yang berpotensi mendapat manfaat daripada perkembangan tersebut.

EcoWorld Malaysia sebelum ini memperoleh tanah seluas 483.6 hektar di Port Dickson pada September 2025 dan membangunkannya secara usaha sama dengan SD Guthrie Bhd serta Negeri Sembilan Corporation menerusi projek Eco Business Park 7.

Perkembangan aktiviti perindustrian itu dijangka turut merancakkan permintaan terhadap infrastruktur, logistik dan pembangunan hartanah komersial serta industri di sepanjang koridor Seremban-Port Dickson. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN