Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah pesan perjalanan sebagai isteri ahli politik bukan mudah - Bella Astillah - Utusan Malaysia

Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah pesan perjalanan sebagai isteri ahli politik bukan mudah – Bella Astillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hanya menghitung hari untuk kembali bergelar isteri, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah mengakui segala nasihat Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengenai cabaran mendirikan rumah tangga bersama ahli politik masih segar dalam ingatannya.

Menurut Bella, Allahyarhamah yang berpengalaman mendampingi Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang perjalanan panjang dalam dunia politik pernah mengingatkannya bahawa tanggungjawab tersebut bukan sesuatu yang mudah.

“Sebenarnya ada nasihat yang boleh saya kongsikan dan ada juga yang tidak kerana saya mahu menghormati Allahyarhamah. Namun, seperti yang saya katakan, Allahyarhamah berpesan bahawa perjalanan sebagai isteri kepada seorang ahli politik bukan sesuatu yang mudah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi selagi kita mempunyai kepercayaan dalam hubungan, insya-Allah rumah tangga akan berkekalan. Toleransi dan rasa hormat terhadap suami juga sangat penting,” katanya.

Bella berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Walimatulurus Bella Astillah dan Syed Saddiq, pada Jumaat.

Dalam pertemuan mereka sebelum pemergian Allahyarhamah, bakal isteri Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq itu menyifatkan setiap pesanan yang disampaikan oleh Allahyarhamah cukup bermakna.

“Allahyarhamah pesan kepada saya supaya kuat dan sentiasa berada di sisi suami. Beliau juga berpesan supaya saya menjadi seorang wanita yang lembut tetapi dalam masa sama tetap kuat. Itu antara nasihat yang diberikan kepada saya,” tambahnya.

Sementara itu, Syed Saddiq sempat memberitahu Allahyarhamah berada dalam keadaan ceria malah meluahkan rasa teruja untuk menghadiri majlis pernikahan mereka ketika bertemu kira-kira tiga hari sebelum pemergiannya.

“Kalau tidak silap, kami bertemu tiga hari sebelum Allahyarhamah meninggalkan kita semua. Ketika itu, Allahyarhamah berada dalam keadaan sangat ceria.

“Beliau juga berkongsi rasa tidak sabar untuk menghadiri majlis pernikahan kami. Banyak nasihat yang disampaikan, khususnya mengenai pentingnya kompromi dalam rumah tangga.

“Perkahwinan bukan sekadar soal cinta semata-mata, tetapi mengenai toleransi dan bagaimana kita bijak berkompromi, melalui ujian serta menangani perkara seperti perasaan cemburu dalam hubungan,” kongsinya.

Tambah Syed Saddiq, pertemuan yang berlangsung lebih dua jam tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada mereka selepas mendengar perkongsian Allahyarhamah mengenai pengalaman kehidupan serta rumah tangganya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebab itu pertemuan tersebut bukan berlangsung selama 15 atau 30 minit, sebaliknya lebih dua jam. Ia sangat bermakna buat kami. Beliau masih boleh bergurau dan mengingati perkara yang berlaku 50 atau 60 tahun lalu, termasuk kisah cintanya bersama Tun Dr Mahathir.

“Beliau boleh mengingati tahun, tempat dan lokasi tertentu ketika mereka berada di universiti di Singapura. Segala-galanya masih dalam ingatannya,” ujarnya.

Untuk info, Bella dan Syed bakal diijabkabulkan dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga serta kenalan rapat di Menara Merdeka 118, 10 Oktober ini.

Pasangan itu juga bakal mengadakan dua majlis resepsi bertemakan Kenduri Rakyat di Muar, Johor yang dijadualkan pada 25 Oktober, diikuti Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN