ROM: Harga makanan dunia meningkat bulan lalu ke paras tertinggi dalam tempoh hampir empat tahun, didorong gangguan logistik dan kebimbangan terhadap keadaan cuaca yang menjejaskan pasaran tanaman.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), kebimbangan terhadap fenomena cuaca El Nino yang teruk turut mendorong harga gula antarabangsa ke paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan.
Sementara itu, gangguan perdagangan di Laut Hitam akibat perang menyebabkan harga niaga hadapan gandum mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun pada awal September.
Indeks Harga Makanan FAO yang mengukur perubahan bulanan harga antarabangsa bagi sekumpulan komoditi makanan mencatat purata 136.0 mata pada bulan lepas.
Bacaan itu meningkat daripada 134.0 mata pada Ogos selepas disemak semula dan merupakan paras tertinggi sejak November 2022.
Penanda aras FAO bagi harga bijirin, gula dan minyak sayuran semuanya meningkat pada September, manakala harga daging serta produk tenusu pula merosot.
Ketua ekonomi FAO, Maximo Torero, berkata peningkatan harga komoditi global semakin meluas dan berterusan apabila gangguan di Selat Hormuz dan Laut Hitam berlaku serentak dengan kejutan iklim, sekali gus memberi tekanan kepada sektor tenaga, pengangkutan dan komoditi makanan utama.
“Jika tekanan ini berterusan, kesannya akan mula dirasai dalam harga makanan pengguna, khususnya di negara yang bergantung kepada import makanan dan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam laporan berasingan, FAO mengekalkan unjuran pengeluaran bijirin global bagi 2026 pada 2.979 bilion tan metrik, iaitu 2.1 peratus lebih rendah berbanding rekod tertinggi tahun sebelumnya, namun masih merupakan hasil tuaian kedua terbesar dalam rekod.
FAO turut menurunkan unjuran perdagangan bijirin dunia bagi 2026/27 sebanyak 0.7 peratus berbanding September, berikutan jangkaan eksport gandum dan jagung yang lebih rendah, sebahagian besarnya disebabkan laluan perkapalan di Laut Hitam yang terhad.- AGENSI











