Krisis tenaga global: Harga makanan masih terkawal, tekanan kos mula dirasai

Krisis tenaga global: Harga makanan masih terkawal, tekanan kos mula dirasai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga makanan di negara ini masih berada dalam julat terkawal, namun peningkatan kos input dan logistik mula memberi tekanan kepada rantaian bekalan domestik.

Antara yang mencatat kenaikan ialah ayam standard yang meningkat 3.3 peratus kepada RM9.70 sekilogram, manakala telur ayam Gred C naik 7.3 peratus kepada RM3.93 bagi 10 biji.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, selain itu, beberapa barangan lain seperti sayur-sayuran dan santan menunjukkan trend peningkatan manakala sebahagian komoditi seperti daging lembu dan ikan kembung mencatatkan penurunan harga dalam tempoh sama.

Katanya, trend ini memberi gambaran awal bahawa tekanan kos di peringkat huluan seperti baja, tenaga, bahan mentah dan logistik mula memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan makanan.

“Bagi tempoh 20 hingga 22 April, harga makanan terpilih masih dalam trend pergerakan terkawal dengan perubahan harga lebih kurang 10 peratus.

“Bagaimanapun, tekanan kos input dan logistik mula memberi isyarat awal terhadap rantaian bekalan makanan domestik yang perlu dipantau secara menyeluruh,” katanya dalam taklimat krisis bekalan global di sini, hari ini.

Menurutnya, pemantauan harga tidak boleh tertumpu kepada peringkat runcit semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan keseluruhan ekosistem termasuk pengeluaran, pengangkutan dan pengedaran.

“Kerajaan juga akan meneruskan pemantauan dan intervensi yang bersesuaian bagi mengurangkan kesan kepada pengguna serta mengekalkan kestabilan harga,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasurullah berkata, kira-kira 85 peratus pengguna domestik akan terus dilindungi daripada sebarang pelarasan kos elektrik susulan ketidaktentuan harga bahan api global.

Beliau berkata, pengguna yang menggunakan elektrik di bawah 600 kilowatt jam (kWj) tidak akan dikenakan caj pelarasan kos bahan api secara automatik (Automatic Fuel Adjustment) sekali gus memastikan majoriti rakyat tidak terkesan secara langsung.

“Walaupun bekalan elektrik negara kekal stabil dan mencukupi, kos penjanaan dijangka meningkat berikutan kenaikan harga bahan api seperti arang batu dan gas di pasaran global.

“Akhirnya, tekanan ini boleh memberi kesan kepada kos bekalan elektrik kepada pengguna sekiranya tidak diurus dengan teliti,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan menggesa pengguna dan sektor industri untuk mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem tenaga negara dalam jangka panjang.

“Kerajaan memberi jaminan untuk meminimumkan kesan perubahan kos elektrik kepada rakyat dan perniagaan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN