PETALING JAYA: Kestabilan politik perlu diberi keutamaan bagi menangani cabaran ekonomi semasa susulan krisis minyak global yang berterusan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kestabilan politik merupakan keperluan paling asas dalam sesebuah ekonomi dan disifatkan sebagai elemen paling penting bagi pertumbuhan sesebuah negara.
“Jika ditanya secara peribadi, inilah elemen paling penting.
“Sekiranya kita mahu mengembangkan ekonomi atau menyelesaikan masalah ekonomi, kekurangan kestabilan politik akan menyukarkan usaha untuk mengatasi cabaran yang mendatang,” katanya ketika sesi dialog Concorde Club di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Menurut beliau, tumpuan sebenar ketika ini seharusnya diberikan kepada pengurusan ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Kita mesti mengakui kekangan kewangan yang ketara; negara masih berdepan defisit,” katanya sambil menambah kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah besar dana bagi tujuan subsidi.
“Ini adalah sebab utama mengapa kita memerlukan kestabilan politik dalam negara.
“Buat masa ini, keperluan itu amat mendesak,” katanya.- UTUSAN










