PETALING JAYA: Kerajaan menetapkan lima keutamaan utama sebagai langkah strategik bagi mendepani krisis bekalan global yang semakin meruncing dan memberi kesan meluas kepada ekonomi serta kehidupan rakyat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, keutamaan tersebut merangkumi usaha menstabilkan bekalan tenaga dan input kritikal, mengawal tekanan kos sara hidup, memastikan projek rakyat tidak terbengkalai, melindungi pekerjaan serta memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang.
Menurutnya, pendekatan itu dilaksanakan secara berfasa dan berasaskan data bagi memastikan setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh serta mampu menangani kesan krisis secara berkesan.
“Krisis yang pada awalnya tertumpu kepada bekalan minyak kini telah berkembang melibatkan rantaian bekalan, kos logistik, tenaga, bahan mentah industri, input pertanian serta harga makanan.
“Fokus kita bukan sekadar menstabilkan harga, tetapi memastikan bekalan tenaga dan keperluan asas kekal terjamin serta kos kepada rakyat tidak meningkat secara mendadak,” katanya dalam taklimat krisis bekalan global di sini, hari ini.
Menurutnya, situasi semasa menjadikan pengurusan ekonomi lebih mencabar berikutan kesannya berlaku secara berlapis dan merentas pelbagai sektor termasuk pembinaan, pengangkutan serta pasaran buruh.
Bagaimanapun, jelas beliau, pemantauan rapi akan terus dilaksanakan bagi membolehkan
langkah mitigasi awal diambil secara proaktif dalam menangani potensi implikasi terhadap kos tenaga dan tekanan inflasi sekiranya peningkatan harga minyak berlanjutan.
“Dalam senario gangguan yang berpanjangan, pemulihan bekalan minyak mentah dijangka mengambil masa tiga hingga 12 bulan manakala kerosakan infrastruktur minyak dan gas mengambil masa untuk dipulihkan,” katanya.
Akmal Nasurullah berkata, walaupun pasaran kewangan domestik menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan indeks FBM KLCI atau prestasi kewangan, namun indikator tersebut tidak mencerminkan sepenuhnya realiti ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.
“Kekuatan sebenar ekonomi mesti dilihat pada kemampuan rakyat mengurus belanja harian, mengekalkan pekerjaan dan memastikan perniagaan terus beroperasi.
“Kerajaan juga akan terus mempergiat libat urus bersama industri bagi memastikan sebarang gangguan dapat ditangani lebih awal sebelum memberi kesan besar kepada rakyat dan perniagaan,” katanya.- UTUSAN










