Pulau Pinang rekod RM1.91 bilion impak ekonomi menerusi 3,391 acara perniagaan

Pulau Pinang rekod RM1.91 bilion impak ekonomi menerusi 3,391 acara perniagaan

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) ketika merasmikan program BE Associate di George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang merekodkan impak ekonomi sebanyak RM1.91 bilion menerusi penganjuran 3,391 acara perniagaan sepanjang tahun lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya dengan kehadiran lebih 450,000 delegasi serta melebihi 800,000 tempahan bilik seperti yang direkodkan.

Katanya, pencapaian itu bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada negeri, malah, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan perniagaan tempatan dan mengukuhkan keseluruhan ekosistem pelancongan serta acara perniagaan.

“Apabila industri acara perniagaan berkembang, ekonomi turut berkembang bersama. Kesan limpahan ini dirasai pelbagai sektor termasuk hotel, perusahaan kecil dan sederhana serta penyedia perkhidmatan tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program BE Associate oleh Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) di sini, hari ini.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, program BE Associate merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat masa depan bagi industri acara perniagaan.

Katanya, program itu menyediakan pendedahan dunia sebenar kepada pelajar melalui pengalaman langsung dalam pengurusan acara, selain membina kemahiran praktikal yang diperlukan industri.

“Program ini membuktikan kita serius menyediakan anak muda dengan peluang sebenar, membolehkan mereka belajar, mencuba dan memahami keperluan industri yang sentiasa berubah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN