Mahfuz gesa peladang balas bantuan dengan hasil, bukan lagi alasan

Mahfuz gesa peladang balas bantuan dengan hasil, bukan lagi alasan

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Langkah kerajaan menambah baik bantuan diesel dan sokongan kepada sektor pertanian dalam keadaan ekonomi global yang mencabar perlu dibalas dengan peningkatan hasil yang tinggi.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, ia bukan bantuan biasa sebaliknya talian hayat kepada sektor makanan negara di mana kenaikan insentif pesawah dan bantuan diesel itu merupakan langkah bagi memastikan rantaian makanan negara tidak lumpuh.

Katanya, kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar memahami denyut nadi rakyat, tetapi berani bertindak ketika dunia sedang bergolak.

“Kalau sawah berhenti, dapur rakyat pun akan sunyi, jadi kerajaan dah tambah bantuan dan soalan sekarang hasil kita bila nak tambah. Kerajaan sudah buat bahagiannya, sekarang giliran peladang pula tunaikan bahagiannya.

“Bantuan bukan untuk kita rasa selesa, tetapi untuk tingkatkan pengeluaran. Tidak boleh lagi ada sikap tunggu subsidi tanpa hasil iaitu ambil bantuan, tapi jangan lupa tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan menaikkan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar semusim di samping menaikkan bantuan kepada pengguna diesel membabitkan BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu.

Tambah Mahfuz, kewajaran meningkatkan hasil bukan lagi satu pilihan tetapi kewajipan bagi setiap peladang kerana kerajaan sudah ‘menghulurkan tangan’ yang sepatutnya tidak sekadar disambut golongan itu tetapi bangkit melangkah lebih jauh.

“Maka LPP menyeru pesawah tingkatkan hasil padi per hektar, petani dan pekebun pula gandakan produktiviti tanaman, manakala penternak perlu tambah kapasiti pengeluaran dan usahawan agro juga kena tingkatkan nilai tambah dan pasaran.

“Kalau bantuan naik, hasil pun mesti naik itu baru adil. Bantuan ini juga bukan sekadar untuk tampung kos tapi peluang menambah pendapatan kepada mereka,” katanya

Sementara itu, Mahfuz berkata, LPP komited untuk memastikan setiap bantuan kerajaan sampai kepada sasaran, digunakan secara optimum dan diterjemah kepada peningkatan hasil yang sebenar. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN