IPT diminta pantau harga makanan di kafetaria

IPT diminta pantau harga makanan di kafetaria

ZAMBRY Abd. Kadir berucap pada Majlis Pencapaian dan Hala Tuju Celik Madani di Menara Merdeka 118 di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta diminta memantau harga makanan di kafetaria bagi memastikan pengusaha tidak menaikkan harga sehingga membebankan pelajar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, perkara itu perlu diberi perhatian khusus memandangkan terdapat pengusaha kafetaria yang mengenakan harga makanan mengikut kadar pasaran biasa tanpa mengambil kira kemampuan pelajar.

Katanya, pihak kementerian telah memaklumkan kepada pengurusan universiti khususnya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) supaya mempertimbangkan keadaan semasa dan tidak meningkatkan harga makanan di kafetaria kampus.

“Saya telah memaklumkan kepada pihak universiti supaya mempertimbangkan perkara ini kerana ada dalam kalangan pengusaha kantin atau kafetaria yang mengenakan harga seperti harga pasaran biasa.

“Perlu dijelaskan bahawa IPTS mempunyai beberapa kategori. Ada IPTS yang dikategorikan sebagai institusi milik kerajaan negeri iaitu universiti-universiti yang dikendalikan oleh kerajaan negeri. Bagi kumpulan ini, kebanyakan pelajarnya datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Sebab itu, saya telah meminta supaya dari segi penyediaan menu, kita memperkenalkan satu pendekatan baharu. Sebelum ini kita ada Menu Rahmah. Sekarang kita perkenalkan pula Menu Kasih Siswa,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Pencapaian dan Hala Tuju Celik Madani di Menara 118, hari ini.

 Zambry berkata, kementerian boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat pengusaha kafetaria IPT yang masih berdegil menaikkan harga makanan sehingga membebankan pelajar.

Katanya, perkara itu akan diteliti bersama pihak universiti bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian.

“Di peringkat IPTA, kita mempunyai kuasa untuk memantau perkara tersebut.

“Bagi IPTS, kita akan maklumkan kepada mereka supaya mengambil kira perkara ini. Perkara seperti ini perlu dibincangkan secara dua hala dan yang paling penting kita mengambil kira kebajikan para pelajar,” katanya.

Berhubung program Celik Madani, ia dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang mencatatkan lebih 200,000 penyertaan pelajar IPT sejak tahun lalu.

Program itu menyasarkan penyertaan kumulatif seramai satu juta pelajar menjelang 2030, dengan setiap peserta menerima pelaburan permulaan sebanyak RM50 dalam bentuk unit amanah Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) sebagai langkah awal memulakan perjalanan pelaburan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN