KETEGANGAN geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat sekali lagi mengingatkan dunia bahawa sistem makanan global sebenarnya sangat rapuh.
Walaupun Malaysia terletak jauh dari zon konflik tersebut, perkembangan di rantau itu masih boleh memberi kesan yang ketara terhadap keterjaminan makanan negara.
Saluran utama yang menghubungkan konflik di Timur Tengah dengan pasaran makanan global ialah harga tenaga, khususnya harga minyak mentah.

Apabila ketegangan geopolitik meningkat, pasaran tenaga biasanya bertindak balas terlebih dahulu. Peningkatan harga minyak akan menaikkan kos pengangkutan, meningkatkan harga baja dan akhirnya meningkatkan kos pengeluaran pertanian secara keseluruhan.
Dalam pertanian moden, tenaga merupakan input yang sangat penting kerana ia mempengaruhi operasi jentera ladang, sistem pengairan, pengeluaran baja, pemprosesan makanan serta pengangkutan.
Akibatnya, peningkatan harga minyak akan merebak ke seluruh rantaian bekalan makanan global dan akhirnya membawa kepada kenaikan harga makanan di peringkat antarabangsa.
Walaupun pengeluaran makanan domestik telah meningkat, Malaysia masih mengimport sebahagian besar keperluan makanannya seperti beras, gandum, produk tenusu dan daging lembu.
Defisit perdagangan makanan negara pada 2024 adalah RM39.34 billion. Kebergantungan kepada import ini menjadikan Malaysia lebih terdedah kepada turun naik harga makanan di pasaran global.
Malah, dalam sektor yang kelihatan mencukupi dari segi pengeluaran domestik, kebergantungan kepada input import masih ketara. Contohnya, industri ayam merupakan pembekal utama protein bagi rakyat Malaysia.
Walaupun pengeluaran ayam adalah mencukupi, industri ini bergantung kepada bahan makanan ternakan yang diimport seperti jagung bijirin dan kacang soya.
Apabila harga bahan makanan ternakan ini meningkat akibat kenaikan kos tenaga dan pengangkutan, kos pengeluaran ayam turut meningkat. Ini akhirnya boleh membawa kepada kenaikan harga ayam di pasaran tempatan.
Kenaikan harga tenaga juga memberi kesan kepada harga baja. Pengeluaran baja merupakan industri yang sangat bergantung kepada tenaga. Oleh itu, kenaikan harga minyak biasanya akan menyebabkan harga baja meningkat di peringkat global.
Bagi petani di Malaysia yang menghasilkan beras, sayur-sayuran dan tanaman lain, kenaikan harga baja akan meningkatkan kos pengeluaran dan akhirnya boleh membawa kepada kenaikan harga makanan domestik.
Apabila harga minyak meningkat, kos logistik dan pengangkutan turut meningkat. Dalam kebanyakan kes, sektor pengangkutan dan logistik merupakan antara sektor pertama yang terkesan oleh kejutan geopolitik kerana harga bahan api secara langsung mempengaruhi kos penghantaran dan pengedaran.
Apabila kos logistik meningkat, harga makanan biasanya akan meningkat selepas beberapa ketika apabila kos input yang lebih tinggi dipindahkan sepanjang rantaian bekalan.
Ini bermakna walaupun bekalan makanan masih mencukupi di pasaran, pengguna mungkin perlu membayar harga yang lebih tinggi.
Dari segi ketersediaan makanan, keadaan Malaysia masih stabil dalam jangka pendek kerana negara mengimport makanan daripada pelbagai negara seperti India, Pakistan, Australia, New Zealand, Brazil serta negara-negara ASEAN.
Kepelbagaian sumber import ini membantu mengurangkan risiko gangguan bekalan secara langsung.
Namun begitu, kenaikan harga tenaga akan meningkatkan kos pengangkutan dan pengeluaran, yang akhirnya membawa kepada kenaikan harga makanan.
Bagi isi rumah berpendapatan rendah, kenaikan harga makanan boleh mengurangkan kuasa beli dan mengehadkan akses kepada makanan yang berkhasiat.
Apabila harga makanan meningkat, isi rumah lazimnya akan menyesuaikan corak perbelanjaan dengan beralih kepada makanan yang lebih murah serta mengurangkan pengambilan makanan yang lebih berkhasiat seperti daging, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Perubahan ini boleh menjejaskan kepelbagaian diet dan kualiti pemakanan.
Konflik geopolitik yang berpanjangan boleh menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga, baja dan komoditi pertanian global.
Oleh kerana Malaysia sangat bergantung kepada import makanan dan input pertanian, ketidaktentuan ini boleh mendedahkan negara kepada risiko kejutan harga dan gangguan bekalan dalam jangka panjang.
Namun demikian, kesan kenaikan harga komoditi global tidak semestinya negatif sepenuhnya. Sebagai pengeksport bersih petroleum dan minyak sawit, Malaysia mungkin memperoleh manfaat daripada kenaikan harga komoditi dalam jangka pendek.
Hasil eksport yang lebih tinggi boleh membantu mengimbangi kos import makanan yang meningkat.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, negara perlu memperkukuh daya tahan sistem makanan negara agar tidak terlalu terdedah kepada kejutan pasaran global.
Usaha ini termasuk mengekalkan stok simpanan strategik makanan ruji seperti beras, mempelbagaikan sumber import supaya tidak bergantung kepada mana-mana satu rantau, serta meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan.
Pada masa yang sama, penerapan inovasi teknologi seperti varieti benih yang lebih produktif, pertanian tepat (precision farming), pertanian digital dan sistem pengeluaran yang tahan perubahan iklim perlu dipercepatkan bagi memastikan keterjaminan jangka panjang negara terus terjamin.
Di peringkat serantau pula, kerjasama ASEAN menjadi semakin penting dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran makanan global. Rangka Kerja Keterjaminan Makanan Bersepadu ASEAN (AIFS) bertujuan memastikan keterjaminan makanan jangka panjang dan meningkatkan kesejahteraan petani di rantau ini.
Selain itu, mekanisme seperti ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR) menyediakan kerjasama serantau dalam bentuk rizab beras bagi membantu negara anggota menghadapi krisis bekalan makanan atau bencana.
Walaupun konflik di Timur Tengah tidak secara langsung mengancam bekalan makanan fizikal Malaysia, kesannya tetap dirasai melalui saluran ekonomi global seperti kenaikan harga tenaga, peningkatan kos pengeluaran makanan dan ketidaktentuan pasaran komoditi dunia.
Hakikat ini menunjukkan bahawa keterjamianan makanan bukan lagi sekadar isu sektor pertanian semata-mata, tetapi telah menjadi isu strategik yang berkait rapat dengan kestabilan ekonomi dan keselamatan negara.
Malaysia perlu bergerak lebih pantas untuk membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan.
Memperkukuh pengeluaran domestik, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan memperdalam kerjasama serantau akan menjadi kunci utama bagi memastikan rakyat terus menikmati bekalan makanan yang mencukupi, mampu beli dan berkhasiat pada masa hadapan. – UTUSAN
DATUK Dr. Nasir Shamsudin ialah profesor di Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM).










