KUALA LUMPUR: Penyanyi bertaraf legenda, Jamilul Hayat menasihatkan orang ramai agar memilih bidang kerjaya selain daripada bidang hiburan.
Katanya, hal demikian kerana pada pandangannya, industri seni itu lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
“Industri hiburan ini penuh panca roba. Saya bukan tidak menggalakkan untuk ceburi bidang ini, tapi kalau boleh iktiharlah menjalani kehidupan ini dalam bidang yang lain.
“Kerana bidang hiburan ini terlalu banyak buruk daripada yang baik.
“Itu pendapat saya. Saya harap peminat faham apa yang saya maksudkan,” katanya.
Jamilul Hayat berkata demikian ketika menjadi tetamu undangan dalam program Bicara Eksklusif yang bersiaran dalam Labuan FM.
Turut menemani beliau adalah anaknya, Hussain Jamilul Hayat.
Dalam masa yang sama, penyanyi berusia 65 tahun itu turut mengingatkan agar mendahulukan ibu bapa dalam segala hal.
“Pastikan dalam kehidupan, kalau ada ibu bapa, hormati dan utamakan mereka dahulu,” katanya lagi.
Jamilul juga menasihatkan masyarakat beragama Islam agar sentiasa mengutamakan solat dalam segala hal.
“Dan dalam kehidupan kita, kejayaan hanya ada di dalam agama. Pastikan, walaupun sehingga langit ketujuh kita pergi dalam pelajaran, jika solat tak ada, tak payahlah.
“Senang cakap tak payah hiduplah kalau begitu. Hebat mana pun kamu, kalau solat tinggal, tidak akan ke mana,” ujarnya. – UTUSAN











