Selamatkan rakyat daripada kos tenaga - Utusan Malaysia

Selamatkan rakyat daripada kos tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sampai bila kerajaan mahu terus bermain dengan angka subsidi untuk memastikan rakyat mampu membayar bil elektrik?

Persoalan itu semakin relevan ketika kos penjanaan tenaga berdepan tekanan daripada harga bahan api, perubahan iklim, pertumbuhan permintaan elektrik dan keperluan pelaburan besar untuk membangunkan sistem tenaga yang lebih moden.

Mudah untuk mengatakan rakyat perlu berjimat apabila bil meningkat. Tetapi menyuruh rakyat berjimat tanpa memberikan alat, teknologi dan pilihan yang membolehkan mereka berbuat demikian bukanlah penyelesaian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakikatnya, penggunaan elektrik bukan semata-mata soal sikap pengguna.Cuaca panas, saiz keluarga, jenis rumah, peralatan elektrik dan tahap kecekapan bangunan semuanya menentukan berapa banyak tenaga digunakan.

Justeru, pendekatan ‘guna lebih, bayar lebih’ mungkin benar dari sudut prinsip, tetapi ia tidak boleh menjadi alasan untuk melepaskan seluruh tanggungjawab kepada pengguna. Rakyat perlu diberikan tools untuk berjimat, bukan sekadar disuruh berjimat.

Subsidi bukan jawapan selama-lamanya
Perlindungan bil elektrik sememangnya penting, khususnya kepada isi rumah yang benar-benar terdedah kepada kenaikan kos sara hidup. Namun, ada perbezaan besar antara melindungi rakyat dengan mensubsidi penggunaan elektrik.

Jika semua pengguna dilindungi berdasarkan jumlah penggunaan semata-mata, persoalannya, sama ada bantuan itu benar-benar sampai kepada golongan yang paling memerlukan. Pendekatan yang lebih munasabah adalah bantuan bersasar kepada pengguna rentan, manakala pengguna lain diberikan insentif untuk meningkatkan kecekapan.

Lebih penting, kerajaan perlu berani mengubah cara berfikir daripada ‘bagaimana mahu mengurangkan bil rakyat?’ kepada ‘bagaimana mahu mengurangkan keperluan rakyat membayar bil yang tinggi?”

Perlindungan sehingga 800 kWh, misalnya, boleh menjadi mekanisme perlindungan, tetapi ia bukan penyelesaian kepada masalah kos tenaga. Kos penjanaan elektrik tidak hilang hanya kerana sesuatu caj dikecualikan.

Akhirnya, ada pihak yang perlu menanggung kos itu – kerajaan melalui subsidi, utiliti melalui penyerapan kos atau pengguna lain melalui mekanisme yang berbeza.

Maka, semakin besar subsidi yang diperlukan, semakin besar persoalan mengenai kemampanan model tersebut.

Bayar bil, tetapi tidak tahu apa menyebabkan bil naik
Ironinya, kebanyakan pengguna hanya mengetahui jumlah bil pada penghujung bulan. Mereka tidak tahu dengan jelas berapa banyak elektrik digunakan oleh penyaman udara, pemanas air, peti sejuk atau pengecas kenderaan elektrik. Di sinilah digitalisasi sepatutnya mengubah permainan.

Bayangkan jika telefon pintar bukan sekadar memaparkan jumlah penggunaan, tetapi memberitahu pengguna:
“Penyaman udara menyumbang 45 peratus bil bulan ini.”

Atau memberi amaran: “Penggunaan penyaman udara minggu ini meningkat 20 peratus berbanding kebiasaan.”

Maklumat seperti itu jauh lebih berguna daripada menunggu bil sampai pada penghujung bulan.

Prinsipnya mudah – apa yang tidak boleh dilihat, sukar untuk diurus.

Smart meter tidak sepatutnya berhenti sebagai alat untuk membaca penggunaan. Ia perlu berkembang menjadi smart advice yang membantu pengguna membuat keputusan.

Teknologi AI dan Non-Intrusive Load Monitoring (NILM) pula berpotensi membantu mengenal pasti corak penggunaan peralatan tanpa memerlukan meter berasingan pada setiap perkakas.
Belanjawan 2027 mesti berani mengubah pendekatan

Di sinilah Belanjawan 2027 perlu dilihat sebagai lebih daripada sekadar dokumen kewangan tahunan.

Jika kerajaan hanya menambah peruntukan subsidi tenaga setiap kali kos meningkat, masalah yang sama akan berulang.

Sebahagian peruntukan sepatutnya digunakan untuk mengurangkan keperluan subsidi pada masa depan.

Bantu keluarga menggantikan penyaman udara lama. Bantu mereka memasang sistem pengurusan tenaga. Bantu PKS melaksanakan audit tenaga dan menaik taraf peralatan.

Percepatkan solar rooftop dan penyimpanan tenaga. Gunakan teknologi digital supaya pengguna tahu bila dan bagaimana mereka menggunakan elektrik.

Perbezaannya amat besar. Satu ringgit yang diberikan sebagai subsidi mungkin menyelesaikan masalah untuk tempoh tertentu.

Tetapi satu ringgit yang digunakan untuk meningkatkan kecekapan berpotensi menghasilkan penjimatan berulang setiap tahun. Maka Belanjawan 2027 perlu secara berperingkat bergerak daripada mensubsidi penggunaan kepada melabur dalam kecekapan.

Industri tidak perlukan subsidi selama-lamanya
Pendekatan sama perlu digunakan terhadap industri dan PKS.Jangan hanya menawarkan subsidi elektrik.Bantu syarikat mengurangkan energy intensity.

Sediakan pembiayaan dan insentif cukai untuk motor cekap tenaga, chiller, solar rooftop, sistem pengurusan tenaga, penyimpanan tenaga dan pengoptimuman proses.

Masalah PKS selalunya bukan kerana mereka tidak mahu melabur.Masalahnya modal permulaan. Jika sebuah kilang boleh menghasilkan produk yang sama menggunakan 15 peratus kurang elektrik, ia bukan sahaja menjimatkan bil.

Ia menjadi lebih kompetitif. Dalam ekonomi yang semakin sengit, kecekapan tenaga akhirnya menjadi isu daya saing negara.

Tenaga boleh baharu bukan sekadar isu hijau
Malaysia juga tidak boleh melihat tenaga boleh baharu hanya melalui kaca mata perubahan iklim. Ia adalah soal keselamatan tenaga. Krisis geopolitik membuktikan harga bahan api boleh berubah dengan pantas.

Gas mempunyai peranan penting kerana ia boleh menjana elektrik apabila diperlukan, tetapi tetap terdedah kepada harga bahan api. Solar pula bersifat berubah-ubah dan memerlukan sokongan grid serta penyimpanan.

Hidro mempunyai nilai tersendiri tetapi bergantung kepada keadaan geografi. Bateri memberikan fleksibiliti tetapi memerlukan pelaburan. Tiada satu teknologi yang boleh menyelesaikan semua masalah.

Sistem tenaga yang kukuh adalah sebuah portfolio.Persoalannya bukan solar lawan gas atau tenaga boleh baharu lawan tenaga konvensional.

Persoalan sebenarnya apakah kombinasi yang mampu memberikan Malaysia tiga perkara serentak – keselamatan, kemampuan dan kelestarian.

Tenaga boleh baharu mempunyai satu kelebihan besar – tiada turun naik kos bahan api seperti yang berlaku kepada sumber konvensional.

Selepas loji solar dibangunkan, matahari tidak perlu dibeli pada harga baharu setiap bulan.

Namun, semakin tinggi penembusan solar, semakin besar keperluan terhadap grid, penyimpanan tenaga dan fleksibiliti sistem.

Sebab itu, kos solar tidak boleh dinilai hanya berdasarkan harga panel. Apa yang perlu dilihat ialah keseluruhan kos sistem.

Dalam jangka panjang, tenaga boleh baharu menawarkan satu perkara yang amat penting kepada ekonomi – kepastian kos.

Jangan tunggu krisis baru bertindak
Cabaran terbesar Malaysia bukan kekurangan teknologi.Cabaran sebenar adalah keberanian mengubah pendekatan. Kerajaan tidak boleh selama-lamanya menjadi ‘penampan’ apabila kos tenaga meningkat. Sebaliknya, negara perlu membina sistem yang semakin kurang memerlukan penampan itu.

Itulah sebabnya Belanjawan 2027 perlu mempunyai satu prinsip yang jelas: Lindungi yang benar-benar memerlukan perlindungan. Bantu semua pengguna menjadi lebih cekap. Dan melabur hari ini dalam sistem tenaga yang akan mengurangkan kos rakyat pada masa depan.

Jika kita hanya mensubsidi bil hari ini, masalah itu akan kembali esok. Tetapi jika kita meningkatkan kecekapan rumah, industri, grid dan keseluruhan sistem tenaga, kita bukan sekadar mengurangkan bil.

Kita mengurangkan punca yang menyebabkan bil terus meningkat. Dan akhirnya, itulah yang rakyat perlukan – bukan sekadar bil murah untuk hari ini, tetapi sistem tenaga yang mampu milik untuk bertahun-tahun akan datang.

Datuk Ir. Guntor Tobeng ialah Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. yang juga CEO Fakulti Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN