‘Kami menanti khabar berita Haziq di Nepal’

‘Kami menanti khabar berita Haziq di Nepal’

SUDAH 37 hari berlalu sejak Muhammad Haziq Ismail, 36, gagal dihubungi susulan bencana banjir di Nepal, namun keluarganya masih menanti khabar mengenai keberadaan lelaki itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah 37 hari berlalu sejak Muhammad Haziq Ismail, 36, gagal dihubungi susulan bencana banjir di Nepal, namun keluarganya masih menanti khabar mengenai keberadaan lelaki itu.

Kakaknya, Nurizzati menerusi hantaran di Threads hari ini berkata, keluarga terus mengingati Haziq yang disifatkan sebagai seorang adik yang bijak, suka bergurau dan sering menceriakan suasana bersama ahli keluarga.

“Sudah 37 hari berlalu tanpa sebarang khabar daripada adik kami, Haziq, kami akan terus mengingati adik yang seorang ini.

“Dia seorang yang sangat bijak, lucu, kacak dan suka mengusik adik-beradik serta anak-anak buah. Ada sahaja idea yang dicetuskannya,” katanya dalam hantaran berkenaan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Nurizzati turut berkongsi perbualannya bersama Haziq yang pernah menyatakan hasrat untuk membuka sebuah kedai kopi bersama keluarga selepas perniagaannya mencapai kejayaan.

“Terlalu banyak impian dan perancangan yang dimilikinya dalam hidup dan perkara itu sering diceritakan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Haziq merupakan antara sembilan rakyat Malaysia yang gagal dihubungi ketika dalam perjalanan menuju ke sempadan Rasuwagadhi-Kerung, Nepal.

Kesemua mereka dilaporkan bertolak dari Kathmandu dengan menaiki dua kenderaan pacuan empat roda sebelum gagal dihubungi ketika berada kira-kira 18 kilometer dari sempadan Nepal-Tibet.

Nama Haziq turut tersenarai antara 51 rakyat Malaysia yang dilaporkan terputus hubungan selepas bencana berkenaan.

Dalam hantaran terbaharunya, Nurizzati turut memohon orang ramai menitipkan doa buat Haziq dan keluarganya agar mereka mendapat jawapan mengenai keberadaan adiknya itu.

“Pada hari Jumaat yang mulia ini, saya mohon titipkan doa buat Haziq dan kami sekeluarga agar kami menemui jawapan atas segala doa yang dipanjatkan,” katanya.

Sehingga kini, keluarga masih menanti kepastian mengenai keberadaan Haziq selepas 37 hari tanpa sebarang khabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN