BESUT: Kecintaan terhadap seni silat mendorong Mohamad Faridzul Zaid dari Jabi di sini, berulang-alik ke Bukit Tinggi, Pahang hampir setiap bulan bagi menimba ilmu sebelum pulang ‘mewariskannya’ kepada generasi muda dalam usaha memastikan ia tidak lenyap ditelan zaman.
Mohamad Faridzul, 38, yang merupakan jurulatih Gelanggang Seni Silat Gayuh Makrifat Malaysia berkata, dia mula aktif dalam seni silat sejak 2019 dan berusaha meningkatkan kemahiran dengan berguru di Kota Bharu dan Bukit Tinggi, Pahang.
“Saya sudah berniat mengembangkan silat kepada orang tempatan. Sebab itu hampir setiap bulan saya ke Bukit Tinggi untuk belajar dan mengambil ujian persilatan sebelum menjadi tenaga pengajar bermula 2021.
“Saya semata-mata balik ke Besut untuk kembangkan silat ini. Saya mahu generasi muda di tempat sendiri mengenali dan mempelajari warisan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mohamad Faridzul berkata, dia kini perlu memberi tumpuan kepada gelanggang di Jabi yang mempunyai kira-kira 20 hingga 30 pelatih aktif termasuk daripada kanak-kanak berusia tujuh tahun hingga 12 tahun.
“Sambutan terhadap silat sebenarnya masih ada, cuma kita bersaing dengan pelbagai hobi dan perkara lain yang diminati golongan muda.
“Sekarang anak-anak banyak terdedah kepada gajet dan permainan digital tetapi tidak semuanya begitu. Masih ada yang datang kerana memang mahu belajar silat,” katanya.
Jelasnya, kekurangan tenaga pengajar juga antara cabaran dalam usaha mengembangkan seni silat di daerah dan negeri ini.
Menurutnya, walaupun terdapat gelanggang silat di beberapa kawasan jumlah tenaga pengajar yang mampu membimbing pelatih secara berterusan masih terhad.-UTUSAN.











