KUALA LUMPUR: Sukan pencak silat di ambang untuk kembali dipertandingkan di pentas Sukan Asia Aichi-Nagoya di Jepun 2026 apabila status penyertaannya dilaporkan sudah mencapai tahap 92 peratus kelulusan peringkat Majlis Olimpik Asia (OCA).
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, perkembangan itu dimaklumkan kepada pihaknya selepas sambutan Aidilfitri melalui saluran kerajaan ke kerajaan (G2G).
“Dalam maklumat yang kita terima, melalui G2G, baru-baru ini Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ke Jepun bertemu dengan Perdana Menteri Jepun dan hampir pasti, 98 peratus seperti dimaklumkan, silat telah pun hampir diterima untuk Sukan Asia di Jepun.
“Tinggal lagi mungkin ada rundingan teknikal termasuk persediaan keperluan dan kelengkapan pertandingan, dan di peringkat majlis, 92 peratus silat telah pun hampir pasti berada dalam Sukan Asia Jepun,” kata Megat selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Batu Caves di sini, kelmarin.
Terdahulu, PESAKA telah memenuhi syarat OCA termasuk pengiktirafan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).
Dalam pada itu, Megat berkata semua negara Asia kini telah diminta membuat persiapan awal termasuk menyertai kejohanan pemanas badan di Belgium sebagai persediaan menghadapi temasya berkenaan.
“Selepas mesyuarat WADA pada bulan Mei nanti, jika diluluskan, dari segi teknikal PESAKA sudah bersedia dan kita lihat semua negara Asia pun sudah mula buat persiapan masing-masing.
“(Kejohanan) Belgium ini pun banyak negara Asia yang mengambil bahagian sebagai persediaan ke arah Sukan Asia, jadi kita anggap ini sebagai sebahagian daripada perancangan awal menghadapi temasya itu,” katanya
Untuk rekod, pencak silat pernah dipertandingkan secara rasmi di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Indonesia sebelum tidak disenaraikan pada edisi berikutnya di Hangzhou, China 2022. – UTUSAN










