Bunyi pahat kian hilang, ukiran kayu berisiko lenyap ditelan zaman

Bunyi pahat kian hilang, ukiran kayu berisiko lenyap ditelan zaman

MOHD. Ayub Che Mat melakukan kerja-kerja mengukir kayu di bengkelnya di Kampung Anak Ikan, Besut, Terengganu. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Bunyi hentakan pahat dan ketukan tukul pernah menjadi ‘irama’ mewarnai bengkel-bengkel ukiran kayu, warisan yang sekian lama menjadi identiti dan kebanggaan daerah ini.

Hasil sentuhan tangan pengukir tempatan bukan sekadar menghiasi rumah tradisional Melayu ketika dahulu, malah mewarnai keindahan istana, masjid dan bangunan warisan di seluruh negara.

Besut dahulunya dikenali sebagai antara pusat seni ukiran kayu terunggul di Pantai Timur.

Kehalusan seni ukiran dihasilkan melambangkan kreativiti pengukir Melayu yang diwarisi turun-temurun.

Namun, arus kemodenan sedikit demi sedikit menghakis warisan itu apabila permintaan terhadap seni ukiran itu semakin merosot selepas orang ramai mula memilih bahan binaan moden seperti besi, aluminium dan plastik memandangkan pembuatannya lebih cepat.

Bagi seorang pengukir, Mohd. Ayub Che Mat, 50, keadaan itu menimbulkan kebimbangan apabila bilangan pengukir mahir juga semakin berkurangan apabila ramai penggiat lama bersara tanpa pelapis yang benar-benar bersedia meneruskan legasi tersebut.

“Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil seni ukiran kayu yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan masyarakat Melayu lenyap ditelan zaman.

“Selain itu cabaran paling besar hari ini bukan sekadar mendapatkan tempahan, sebaliknya memastikan seni warisan itu terus relevan dalam dunia yang semakin mengutamakan kepantasan dan kos rendah,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini.

TEKNOLOGI AMBIL ALIH

Menurut Mohd. Ayub, seni ukiran kayu bukan sekadar memerlukan kemahiran memahat malah seseorang pengukir perlu memiliki bakat melukis, daya kreativiti dan ketelitian bagi menghasilkan karya berkualiti.

MOHD. Ayub Che Mat melakukan kerja akhir kekemasan bumbung kayu di bengkelnya di Kampung Anak Ikan, Besut, Terengganu.

Katanya, dahulu pengukir hanya bergantung kepada pahat dan tukul selain menggunakan kreativiti sendiri dalam menghasilkan setiap corak menggunakan tangan dengan penuh kesabaran dan ketelitian.

“Hari ini pelbagai mesin mo­den digunakan bagi mempercepat proses penghasilan ukiran. Walaupun teknologi banyak membantu, kehalusan dan nilai seni ukiran tangan tetap tidak dapat ditandingi.

“Generasi muda kini kurang berminat menceburi bidang tersebut kerana menganggapnya terlalu rumit, mengambil masa yang lama disiapkan, tetapi tidak menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.

KURANG TENAGA KERJA

Seorang lagi pengukir, Mohd. Aizat Jafni Mohamad, 37, pula berkata, minat mendalam terhadap keindahan seni ukir itu menjadi faktor utama dia terus bertahan dalam bidang yang diceburi sejak lima tahun lalu.

Katanya, ramai anak muda datang ke bengkel mereka di Kampung Anak Ikan di sini, bagi mempelajari seni ukiran, tetapi tidak ramai yang mampu bertahan kerana bidang itu memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi.

“Ramai datang belajar, tetapi akhirnya berhenti di tengah jalan. Seni ukiran memerlukan fokus kerana setiap hasil perlu dibuat dengan teliti. Jika tiada minat mendalam, memang sukar kekal dalam bidang ini,” katanya.

Faktor itu menyebabkan da­erah ini ketandusan pengukir baharu yang berpengalaman dan hanya bergantung kepada beberapa individu yang masih aktif mengukir.

TEMPAHAN PELANGGAN

Menurut Mohd. Aizat Jafni, tempahan yang diterima kini lebih tertumpu kepada pintu berukir dan hiasan rumah berbanding dahulu apabila ukiran kayu menjadi elemen utama dalam pembinaan istana, masjid dan rumah tradisional.

Bagaimanapun, corak klasik seperti Awan Larat masih mendapat tempat dalam kalangan pe­langgan dengan kebanyakannya diolah dengan sentuhan moden bagi memenuhi kehendak pasaran semasa.

“Setiap pelanggan mempu­nyai cita rasa tersendiri. Ada yang membawa rekaan sendiri dan ada yang memberi kebebasan kepada kami menghasilkan corak berdasarkan pengalaman,” katanya.

Tempoh menyiapkan sesuatu tempahan bergantung kepada saiz dan tahap kerumitan ukiran. Bagi ukiran bersaiz kecil hanya mengambil masa dua hari namun jika saiznya lebih besar ia boleh mengambil masa sehingga dua minggu.

Ujarnya, pemilihan kayu adalah elemen penting yang mana pengukir lebih gemar menggunakan jenis kayu seraya dan merawan kerana tahan lama dan sesuai menghasilkan ukiran yang halus.

“Harga ukiran bermula sekitar RM1.20 seinci manakala satu set pintu berukir boleh mencecah antara RM2,500 hingga RM3,000 bergantung kepada saiz dan reka bentuk.

“Kami hanya mampu menghasilkan kira-kira lima set pintu sebulan. Tempahan masih diterima dari seluruh negara termasuk Pulau Pinang, Johor dan Sela­ngor tetapi jumlahnya tidak lagi serancak dahulu,” katanya.

LAMBANG KEMEWAHAN

Seorang lagi pengukir, Mohammad Zulkifli Mat Nor, 32, berkata, perubahan trend pembinaan rumah moden menyebabkan seni ukiran kayu semakin dipinggirkan.

Dahulu ukiran kayu menjadi lambang kemewahan dan kebanggaan masyarakat Melayu, kini ramai memilih bahan moden yang lebih murah, ringan dan cepat dipasang.

“Disebabkan itu pengukir terpaksa menyesuaikan hasil kerja dengan kehendak pelanggan yang lebih mengutamakan reka bentuk ringkas dan tempoh siap yang cepat berbanding ukiran tradisional yang halus dan rumit,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, mereka tetap berharap seni ukiran kayu terus dipulihara sebagai warisan bangsa.

Bagi mereka, seni ukiran bukan sekadar sumber rezeki tetapi lambang kehalusan seni Melayu yang sarat dengan nilai sejarah, budaya dan identiti masyarakat.

Tanpa usaha bersepadu daripada pelbagai pihak untuk melahirkan pelapis baharu, memperluas pasaran serta meningkatkan penghargaan terhadap hasil kerja tangan tempatan, tidak mustahil bunyi pahat yang suatu ketika dahulu menghidupkan bengkel-bengkel ukiran di Besut hanya tinggal sebagai kenangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN