RAUB: Penduduk Kampung Pamah Kulat di sini bimbang dengan kehadiran ramai warga asing di kawasan itu lebih-lebih lagi selepas kejadian seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 40 tahun cedera selepas dipercayai dibelasah dua lelaki warga Myanmar, Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pamah Kulat, Mohd. Amin Nupah berkata, ia adalah kejadian pertama kali berlaku di kampung itu membabitkan warga asing.
“Sebelum ini mereka tidak pernah mengganggu penduduk dan pihak berkuasa. Tetapi, apabila berlaku kejadian minggu lalu, kami mula risau khususnya keselamatan wanita, kanak-kanak dan warga emas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampung berkenaan.
Menurut Mohd. Amin, kehadiran warga asing di kawasan berkenaan bukanlah perkara baharu namun jumlah mereka semakin ramai sejak kebelakangan ini.
“Pihak JPKK pernah membuat laporan berhubung kehadiran warga asing terbabit kepada pihak berkaitan termasuk penghulu dan Jabatan Imigresen supaya melakukan pemeriksaan dokumentasi, namun belum ada apa-apa tindakan.
“Penduduk berharap pihak berwajib dapat membuat pemeriksaan dan mengambil tindakan sewajarnya jika ada yang tidak mempunyai dokumen sah,” katanya.
Mohd. Amin berkata, JPKK juga pernah berdepan situasi seorang warga asing yang mahu menjalankan aktiviti seperti kelas mengaji al-Quran di sebuah rumah sewa di kampung berkenaan.
“Kami tidak membenarkan aktiviti berkenaan dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama Islam terlebih dahulu,” katanya.-UTUSAN.









