Isu kebanjiran warga asing di Malaysia tidak wajar dilihat melalui sentimen semata-mata. Ia perlu dibaca sebagai cabaran keselamatan sosioekonomi yang semakin mendesak.
Malaysia sememangnya memerlukan tenaga kerja asing dalam sektor tertentu seperti pembinaan, perladangan, pertanian, pembuatan dan perkhidmatan. Namun, kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap buruh asing murah telah mewujudkan tekanan baharu kepada pasaran kerja tempatan, keselamatan komuniti, kesihatan awam dan tadbir urus bandar.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah bukan warganegara di Malaysia pada 2025 dianggarkan 3.38 juta orang. Daripada jumlah itu, 2.70 juta berada dalam kumpulan umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun. Ini bermakna isu warga asing bukan lagi isu pinggiran, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada isu ekonomi negara.
Masalah utama bukan semata-mata berpunca daripada kehadiran warga asing, tetapi daripada struktur ekonomi yang terlalu bergantung kepada kos buruh murah. Apabila majikan lebih cenderung mengambil pekerja asing kerana gaji yang lebih rendah maka pekerja tempatan sering dilihat kurang kompetitif dari segi kos dan komitmen.
Keadaan ini mencetuskan kesan jangka panjang kepada pasaran buruh negara. Paras gaji sukar meningkat, pekerjaan 3D terus dipandang rendah dan latihan kemahiran untuk pekerja tempatan tidak diberikan keutamaan yang sewajarnya.
Bank Negara Malaysia juga pernah memberi amaran bahawa kebergantungan berlebihan kepada pekerja asing berkemahiran rendah boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi kerana firma kurang terdorong untuk beralih kepada model perniagaan yang berasaskan produktiviti tinggi.
Lebih membimbangkan, isu ini berlaku ketika masih terdapat rakyat tempatan yang memerlukan pekerjaan stabil. Pada April 2026, kadar pengangguran negara kembali kepada 3.0 peratus dengan 511,800 orang menganggur. Angka ini tidak bermaksud warga asing menjadi punca langsung pengangguran.
Namun, ia menunjukkan keperluan untuk menilai semula dasar pengambilan pekerja asing supaya tidak menekan peluang pekerjaan, mobiliti gaji dan penyertaan pekerja tempatan dalam sektor yang sepatutnya boleh distrukturkan semula.
Dari sudut keselamatan, kebanjiran warga asing yang tidak dikawal boleh membuka ruang kepada ekonomi gelap, dokumen palsu, eksploitasi buruh, penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan.
Jabatan Imigresen Malaysia melaporkan 16,681 warga asing dan 737 majikan telah dikenakan tindakan melalui 4,785 operasi penguatkuasaan di seluruh negara setakat 15 Mei 2026. Operasi tersebut melibatkan pemeriksaan terhadap 69,406 individu.
Data ini menunjukkan isu warga asing tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab majikan. Majikan yang menggaji pekerja tanpa dokumen dan menempatkan mereka dalam keadaan tidak teratur turut menyumbang kepada kelemahan kawalan negara.
Risiko jenayah juga perlu ditangani secara berhati-hati. Tidak adil untuk menyamakan semua warga asing dengan jenayah. Namun, apabila sebahagian warga asing hidup tanpa dokumen, tanpa perlindungan kerja dan tanpa tempat tinggal yang sah mereka lebih mudah terdedah kepada rangkaian jenayah serta dieksploitasi oleh sindiket.
Dalam masa sama, statistik jenayah negara menunjukkan Indeks Jenayah Malaysia meningkat 11.1 peratus pada 2024 dengan 58,255 kes berbanding 52,444 kes pada 2023. Peningkatan ini menuntut kawalan komuniti yang lebih tersusun termasuk pemetaan kawasan tumpuan warga asing, pemantauan premis perniagaan dan tindakan tegas terhadap sindiket.
Pembinaan penempatan haram pula menimbulkan kesan langsung kepada pihak berkuasa tempatan. Penempatan tidak sah biasanya muncul apabila majikan gagal menyediakan penginapan yang patuh undang-undang menyebabkan pendatang tanpa izin membina komuniti sendiri di tanah kerajaan, kawasan industri dan tebing sungai. Akta 446 menetapkan tanggungjawab majikan berkaitan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja. Kegagalan mematuhi standard ini boleh membawa kepada kesesakan, kebersihan lemah dan tekanan kepada perkhidmatan awam.
Dari sudut kesihatan awam, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal turut meningkatkan risiko penularan penyakit berjangkit. Tuberkulosis atau TB misalnya lebih mudah merebak di kawasan padat, penginapan pekerja yang sesak dan tempat kerja tertutup dengan pengudaraan lemah.
Walaupun warga asing tidak boleh dijadikan punca tunggal masalah ini, risiko kesihatan awam tetap perlu diurus dengan serius melalui saringan kesihatan yang lebih berkesan, rawatan lengkap, pemantauan penginapan dan pengurangan kesesakan.
Malaysia memerlukan pendekatan yang tegas, tersusun dan berasaskan bukti. Kuota pekerja asing perlu dikaitkan dengan keperluan sebenar industri dan kekurangan pekerja tempatan. Majikan yang menggaji pekerja tanpa dokumen perlu dikenakan tindakan lebih berat.
Penguatkuasaan Akta 446 juga perlu diperkukuh bagi memastikan penginapan pekerja lebih selamat, bersih dan terkawal. Pada masa sama sistem gaji dan latihan kemahiran mesti dipacu supaya pekerja tempatan kembali menjadi pilihan utama.
Warga asing bukan musuh negara. Namun, kebanjiran yang tidak dikawal boleh membawa kesan besar kepada ekonomi, keselamatan, kesihatan awam dan kesejahteraan sosial.
Malaysia perlu keluar daripada perangkap buruh murah dan membina pasaran kerja yang lebih adil, komuniti yang lebih selamat serta dasar migrasi yang lebih berdaya saing.
DR. AIZAT KHAIRI ialah Pensyarah Kanan Program Strategi dan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










