SHAH ALAM: Kebanjiran warga asing di negara ini khususnya di Selangor mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan terutama sekitar pusat bandar di sini serta Klang.
Persoalan yang kerap berlegar-legar apa pekerjaan warga asing dan di mana mereka berteduh sehingga sebahagiannya diliha seperti `muncul dan hilang tiba-tiba’.
Seorang penduduk di Pelabuhan Klang, Hashimah Ibrahim, 40, berkata, jumlah penduduk bukan warganegara itu dilihat begitu ramai meskipun sebahagian besarnya dikatakan dihantar pulang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu.
Menurutnya, isu kebanjiran warga asing bukan perkara baharu di Selangor, malah rentetan sejak Malaysia menceburi bidang perindustrian pada awal 1990-an.
“Namun usaha kerajaan pada masa itu ‘diambil kesempatan’ oleh majoriti warga asing, apabila mereka tidak mahu pulang ke negara asal meskipun kontrak pekerjaan tamat.
“Hal ini boleh dilihat di bandar Pelabuhan Klang apabila ramai warga asing yang sudah berumur yang dilihat mundar-mandir di bandar ini. Saya ada di antara mereka sudah tidak bekerj, tetapi masih mahu tinggal di bandar ini kerana merasakan bandar ini selamat diduduki berbanding tinggal di negara asal,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Nur Haswani Abdullah, 37, turut meluahkan persoalan sama apabila melihat kebanjiran warga asing di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam.
Dia yang membesar di kawasan perumahan tersebut berkata, jumlah warga asing yang tinggal di taman tersebut ramai mendadak pada awal tahun 2000.
“Jumlah mereka ‘melepak’ di kedai makan akan meningkat pada cuti umum. Memang rasa tidak selesa tetapi apa boleh buat kerana mereka juga tinggal di sini.
“Harap pihak berkuasa boleh buat pemeriksaan dan pemantauan ke atas setiap warga asing yang tinggal di sini, supaya mereka yang betul-betul ada pasport dan permit pekerjaan yang boleh ada di Malaysia,” tegasnya.- UTUSAN










