Mahkamah Rayuan tolak rayuan pelajar hina NC UM semasa konvokesyen

Mahkamah Rayuan tolak rayuan pelajar hina NC UM semasa konvokesyen

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang pelajar Universiti Malaya (UM) gagal dalam rayuan akhirnya untuk mengetepikan hukuman denda RM10,000 kerana menghina bekas Naib Canselor (NC), Profesor Datuk Dr. Abdul Rahim Hashim semasa majlis konvokesyen, tujuh tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Noorin Badaruddin sekali gus mengekalkan sabitan dan hukuman denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas Wong Yan Ke, 29.

Pada 9 Oktober 2023, lelaki itu didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mendapati dia bersalah dengan sengaja menghina Abdul Rahim Hashim serta tetamu lain dengan mengadakan protes semasa majlis konvokesyen ke-59 universiti itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, jumlah denda itu kemudian dinaikkan kepada RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menolak permohonan rayuan berhubung hukuman berkenaan.

Dalam penghakiman ringkas, Hakim Noorin berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pertuduhan terhadap perayu adalah sah dan tidak menimbulkan sebarang prasangka mahupun kegagalan keadilan.

Katanya, elemen kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan telah berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah, selain tiada sebarang salah arah undang-undang yang material dilakukan oleh Mahkamah Majistret ketika menjatuhkan sabitan.

“Tiada salah arah undang-undang yang material oleh Majistret dan tiada asas yang mencukupi untuk kami mengganggu hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

“Sehubungan itu, mahkamah ini sebulat suara mendapati rayuan perayu (Yan Ke) terhadap sabitan dan hukuman adalah tidak bermerit. Rayuan perayu adalah dengan ini ditolak.

“Sabitan perayu di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan hukuman denda RM10,000 (sekiranya gagal, 6 bulan penjara) sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 April (2025) adalah dikekalkan,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Di akhir penghakiman, Hakim Noorin turut memberikan nasihat secara terbuka kepada Yan Ke dengan menegaskan hukuman itu bukan kerana berbeza pandangan, sebaliknya pada tindakan lelaki itu pada majlis berkenaan yang telah melampaui batas undang-undang.

“Hak untuk kebebasan bersuara adalah hak yang penting, namun ia tidak datang bersama hak untuk membelakangkan undang-undang.

“Dalam masyarakat demokratik, kita bukan sahaja perlu mempertahankan hak untuk bersuara, tetapi juga menerima tanggungjawab yang hadir bersamanya.

“Kamu masih mempunyai ruang untuk bersuara, mengkritik dan tidak bersetuju, namun gunalah ruang itu dengan cara yang menghormati undang-undang kerana kebebasan sebenar dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Yan Ke yang juga bekas Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) telah membayar denda itu.

Kes dikendalikan peguam, Haijan Omar mewakili Yan Ke sebagai perayu dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar dan Mohd. Zain Ibrahim.

Yan Ke didakwa telah mencetuskan kekecohan semasa majlis itu apabila membawa sepanduk protes di atas pentas yang menuntut Abdul Rahim meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor semasa Majlis Konvokesyen UM di Dewan Tunku Canselor pada 10 pagi, 14 Oktober 2019.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×