WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa negaranya mempunyai ‘hampir sepenuhnya’ kawalan ke atas Selat Hormuz, selain mendakwa jumlah minyak yang melalui perairan strategik itu meningkat ke paras tertinggi dalam sejarah sejak beberapa hari lalu.
“Kami mempunyai kawalan hampir sepenuhnya ke atas Selat Hormuz. Malah, dalam tempoh tiga hari lalu, lebih banyak minyak keluar melalui Selat Hormuz berbanding pada bila-bila masa dalam sejarah,” katanya ketika menghadiri sambutan Bulan Warisan Hispanik, lapor Anadolu.
Trump turut mengulangi dakwaannya kekuatan tentera Iran ‘dilumpuhkan sepenuhnya’, sambil berkata perang itu akan berakhir tidak lama lagi.
“Kami akan memenangi perang itu dengan segera, dengan satu cara atau cara lain,” katanya.
Pada Februari, AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran, yang kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Israel serta sasaran AS di rantau berkenaan.
Konflik itu berakhir dengan persetujuan gencatan senjata pada April.
Pada Jun, Washington dan Teheran menandatangani memorandum persefahaman berkaitan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
Bagaimanapun, pelaksanaan memorandum itu terhenti susulan pertikaian berhubung isu keselamatan di laluan perairan strategik berkenaan.











