KUALA LUMPUR: Inisiatif pendigitalan komprehensif termasuk pelaksanaan platform data bersepadu MyJalan serta sistem lebuh raya pintar masa depan dapat memperkasakan integriti dan penyelarasan rangkaian jalan raya negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, platform itu akan mewujudkan kerangka kerja sepunya untuk data jalan raya di seluruh negara, sekaligus membentuk satu gambaran nasional yang seragam mengenai rangkaian jalan raya Malaysia berdasarkan set data dan piawaian yang dikongsi bersama.
“MyJalan mesti berkembang menjadi platform rujukan kebangsaan Malaysia bagi maklumat jalan raya dengan menyatukan data daripada persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan, konsesi dan pemilik jalan lain di bawah satu kerangka kerja sepunya.
“Kita perlu beralih kepada data jalan raya yang bukan sahaja komprehensif, malah saling berhubung, diseragamkan dan boleh dipercayai.
“Akhir sekali, matlamat kita haruslah mudah iaitu satu data, satu standard dan satu ekosistem data jalan raya nasional.
“Itulah matlamat utama kita dalam sesi perbincangan meja bulat sebentar tadi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan MyASEAN Road and Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2026 di MITEC, hari ini.
Alexander berkata, langkah itu turut melibatkan penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), jadual tindakan serta pemantauan berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi memastikan setiap pihak berkuasa jalan raya menyelenggara maklumat dengan cekap.
Jelasnya, pendekatan itu dijangka mampu mengatasi masalah fragmentasi yang sering membingungkan pengguna jalan raya mengenai bidang kuasa penyelenggaraan, di samping membolehkan pihak kementerian merespon aduan awam dengan lebih pantas dan berkesan.
“Penekanan utama kerajaan pada hari ini bukan lagi semata-mata tertumpu kepada kuantiti pembinaan projek baharu sebaliknya memfokuskan kepada kecekapan tadbir urus dan penyelenggaraan aset sedia ada secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN











