Serangan jantung sudah berlalu. Salur darah yang tersumbat berjaya dibuka, prosedur berjalan lancar dan keputusan pemeriksaan susulan pula menunjukkan perkembangan yang baik.
Namun, bagi sesetengah pesakit, perjalanan untuk kembali kepada kehidupan seperti biasa sebenarnya belum selesai.
Tangga yang sebelum ini dinaiki tanpa berfikir panjang tiba-tiba terasa mencabar. Keluar bersendirian menimbulkan rasa bimbang, manakala sedikit rasa tidak selesa pada dada pula sudah cukup untuk mencetuskan persoalan, ‘Adakah serangan jantung datang lagi?’
Secara fizikal, tubuh mungkin sedang pulih dengan baik. Tetapi dari sudut emosi, rasa takut boleh mengambil masa lebih lama untuk hilang.
Itulah realiti yang sering kurang diberi perhatian selepas seseorang terselamat daripada serangan jantung.
Di Malaysia, Pangkalan Data Penyakit Kardiovaskular Kebangsaan merekodkan lebih 15,000 kemasukan ke hospital akibat sindrom koronari akut, termasuk serangan jantung, sepanjang 2020 hingga 2021.
Di sebalik angka itu, terdapat ribuan pesakit yang bukan sahaja perlu memulihkan jantung, tetapi juga membina semula keyakinan untuk menggunakan tubuh mereka seperti sebelum ini.
Sempena Hari Jantung Sedunia, Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Bukit Tinggi Klang (BTMC), Dr. Yew Kuan Leong dan Dr. Shathiskumar Govindaraju, berkongsi mengenai sisi pemulihan selepas serangan jantung yang jarang dibincangkan.
Menurut Dr. Kuan Leong, pemulihan sebenarnya bermula sebelum pesakit meninggalkan hospital dan bukan hanya bergantung kepada kejayaan angioplasti atau pemasangan stent.

“Pemulihan sebenarnya bermula sebelum pesakit meninggalkan hospital. Ia bukan sekadar mengenai prosedur angioplasti atau pemasangan stent yang berjaya, tetapi juga mengenai apa yang dilakukan oleh pesakit selepas itu,” katanya.
Selepas keluar hospital, pesakit perlu meneruskan pengambilan ubat seperti ditetapkan, mengamalkan gaya hidup lebih sihat dan, jika sesuai, menyertai program rehabilitasi jantung.
Tempoh pemulihan berbeza
Ada yang mampu kembali kepada rutin harian dalam beberapa minggu, manakala ada yang memerlukan tempoh lebih lama. Aktiviti seperti bersenam, memandu, melancong dan kembali bekerja biasanya dilakukan secara berperingkat mengikut keadaan serta kemampuan pesakit.
Namun, satu perkara yang tidak boleh diukur melalui laporan perubatan ialah keyakinan pesakit terhadap tubuh sendiri.
Menurut Dr. Shathiskumar, jurang antara keadaan fizikal yang semakin baik dengan perasaan pesakit yang masih takut adalah sesuatu yang biasa berlaku.

“Serangan jantung bukan sahaja satu kejadian fizikal, ia juga boleh menjadi kejutan emosi yang serupa dengan satu peristiwa traumatik,” katanya.
Pesakit mungkin mengalami rasa takut, sedih, mudah marah, sukar tidur atau terlalu peka terhadap degupan jantung sendiri.
Soalan seperti ‘Bagaimana kalau ia berlaku lagi?’ pula boleh berulang kali bermain dalam fikiran.
Perasaan berkenaan bukan bermakna seseorang itu lemah. Sebaliknya, ia sebahagian daripada pengalaman yang perlu diberi perhatian kerana tekanan psikologi yang ketara boleh menjejaskan kesihatan dan proses pemulihan.
“Saya bukan sahaja bertanya, ‘Bagaimana keadaan dada anda?’ Saya juga ingin tahu, ‘Bagaimana dengan tidur anda? Bagaimana perasaan anda? Adakah anda takut?’” kata Dr. Shathiskumar.
Rasa bimbang juga boleh menyebabkan pesakit terlalu memberi perhatian kepada setiap perubahan pada tubuh.
Sedikit ketidakselesaan dada, sakit kepala atau kebas pada tangan mungkin terus dianggap sebagai tanda serangan jantung berulang.
Walaupun tidak semua sensasi itu berpunca daripada masalah jantung, pesakit tidak seharusnya membuat diagnosis sendiri.
Jika mengalami sakit dada yang baharu atau semakin teruk, sesak nafas atau pengsan, pemeriksaan doktor perlu dilakukan dengan segera.
Masalah timbul apabila rasa takut mula mengawal kehidupan.
“Perbezaan utama ialah sama ada ketakutan itu membantu pesakit melindungi jantung mereka atau menghalang mereka daripada menjalani kehidupan seperti biasa,” kata Dr. Shathiskumar.
Antara tanda kebimbangan mula mengambil alih termasuk kerap memeriksa denyutan nadi, berulang kali meminta kepastian, mengelakkan senaman, perjalanan atau aktiviti sosial, malah takut untuk bersendirian.
Sokongan keluarga
Ahli keluarga tidak seharusnya mengetepikan ketakutan pesakit dengan mengatakan mereka terlalu risau. Sebaliknya, mereka boleh memberikan sokongan berdasarkan penilaian dan nasihat doktor.
Jika kebimbangan, perasaan murung atau masalah tidur berterusan selama beberapa minggu sehingga mengganggu kehidupan harian, perkara itu wajar dibincangkan dengan doktor.
Bagi pesakit yang sudah disahkan sihat tetapi masih takut untuk kembali aktif, Dr. Kuan Leong menyarankan supaya mereka tidak terburu-buru.
“Jangan takut, tetapi bersabarlah dan lakukannya selangkah demi selangkah,” katanya.
Program rehabilitasi jantung juga boleh membantu pesakit membina semula keyakinan. Selain memperbaiki faktor risiko, program itu membantu pesakit memahami keadaan mereka dan kembali aktif secara berperingkat.
Pada masa sama, pesakit perlu memahami angioplasti bukan bermakna penyakit jantung sudah hilang sepenuhnya.
Beliau mengibaratkan angioplasti seperti membina ‘lebuh raya’ yang baik untuk arteri koronari.
Ini bermakna pengambilan ubat, pemakanan lebih sihat, aktiviti fizikal yang sesuai dan pemeriksaan susulan tetap diperlukan bagi mengurangkan risiko masalah jantung pada masa depan.










