Tukang cuci kereta tidak mengaku cubaan bunuh anggota polis trafik - Utusan Malaysia

Tukang cuci kereta tidak mengaku cubaan bunuh anggota polis trafik

K. VIKNES (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini bagi menghadapi pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis trafik, minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pekerja kedai cuci kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis trafik dalam kejadian yang tular di media sosial minggu lalu.

Tertuduh, K. Viknes, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap Lans Koperal Badrul Izwany Pauzi dengan cara memandu sebuah kereta Honda Civic berwarna putih sebelum melanggar mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di dalam daerah Ipoh pada pukul 11 pagi, 24 September 2026.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveenaa mencadangkan jaminan RM100,000 terhadap tertuduh, selain diwajibkan melapor diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Menurut beliau, mangsa merupakan seorang penjawat awam berpangkat Lans Koperal yang sedang menjalankan tugas di sekatan jalan raya ketika dilanggar dan dirempuh oleh tertuduh.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengambil kira faktor berkenaan sebagai pemberatan dalam menentukan jumlah jaminan yang tinggi terhadap tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela, Jagdave Singh memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah iaitu RM10,000 dengan mengambil kira latar belakang dan kemampuan kewangan tertuduh.

Katanya, tertuduh yang belum berkahwin itu bekerja di sebuah kedai cuci kenderaan dengan pendapatan harian sebanyak RM50.

“Tertuduh turut menanggung ibu bapa serta dua adik yang masing-masing masih bersekolah di Tingkatan Dua dan Tahun Enam.

“Pihak pembelaan juga bersetuju dengan syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan dan memohon jumlah jaminan RM10,000 dengan mengambil kira tertuduh masih mempunyai pertuduhan lain di Mahkamah Trafik,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 26 Oktober depan.

Sementara itu, tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas lapan pertuduhan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah, memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya dan gagal mematuhi isyarat atau arahan untuk berhenti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×