Kenaikan gaji minimum perlu ambil kira produktiviti, kemampuan majikan - MEF

Kenaikan gaji minimum perlu ambil kira produktiviti, kemampuan majikan – MEF

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang kenaikan gaji minimum perlu dinilai dengan teliti berdasarkan pertumbuhan produktiviti, daya saing perniagaan, kos operasi serta kemampuan majikan mengekalkan pekerjaan, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, kenaikan gaji minimum bukan sahaja melibatkan pertambahan gaji pekerja, malah turut menambah kos keseluruhan yang perlu ditanggung majikan untuk menggaji mereka.

“MEF menyokong peningkatan gaji, tetapi kenaikan itu mesti mampan. Kita tidak boleh menaikkan gaji tanpa melihat produktiviti, daya saing dan kemampuan perniagaan menanggung kos tambahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Matlamatnya adalah untuk membolehkan pekerja menerima gaji lebih baik tanpa melemahkan perniagaan yang menyediakan pekerjaan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Syed Hussain berkata, kerajaan juga perlu lebih berhati-hati sekiranya pelarasan yang dicadangkan menyebabkan kenaikan yang lebih tinggi berbanding kadar gaji minimum semasa sebanyak RM1,700.

Katanya, kenaikan kepada RM1,900 bersamaan peningkatan kira-kira 11.8 peratus, manakala kenaikan kepada RM2,000 pula melibatkan peningkatan sekitar 17.6 peratus.

Jelasnya, kenaikan itu perlu dinilai dengan teliti berdasarkan pertumbuhan produktiviti dan keadaan perniagaan semasa.

“Kenaikan kadar gaji minimum melebihi 10 hingga 12 peratus memerlukan pertimbangan yang sangat serius.

“Bagi PMKS yang beroperasi dengan margin keuntungan semakin mengecil serta menghadapi kos operasi yang meningkat, satu lagi kenaikan gaji yang ketara boleh memberi tekanan besar terhadap kemampuan mereka mengekalkan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, banyak PMKS beroperasi dengan margin keuntungan di bawah 10 peratus dan pihak perniagaan dapat melihat serta merasai margin itu semakin mengecil.

Katanya, pada masa sama, syarikat kecil menghadapi tekanan aliran tunai apabila bayaran daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kerap tertangguh.

“Ini merupakan cabaran sebenar yang dihadapi di lapangan dan mesti diambil kira sebelum menentukan kadar gaji yang mungkin dilaksanakan secara seragam terhadap semua perniagaan.

“Sebelum memutuskan satu kadar yang sesuai untuk semua, kerajaan perlu mendengar dengan teliti maklum balas pihak perniagaan, khususnya PMKS dan sektor yang beroperasi dengan margin keuntungan kecil.

“Kemampuan menanggung kos buruh lebih tinggi berbeza dengan ketara antara perniagaan, sektor dan wilayah. Perbezaan ini perlu diiktiraf dalam semakan gaji minimum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×