PETALING JAYA: Kerajaan dan pihak berkuasa agama perlu mempertingkatkan pemantauan terhadap program-program motivasi serta kandungan digital yang mempunyai unsurGerakan Zaman Baru (NAM).
Antaranya program motivasi dan kursus kerohanian yang berselindung di sebalik istilah seperti ketenangan jiwa, pembangunan diri dan terapi kerohanian.
Langkah itu penting bagi memastikan fahaman yang mengandungi unsur spiritualiti, metafizik atau kepercayaan yang bercanggah dengan akidah Islam tidak disebarkan secara bebas, terutama menerusi media sosial.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, program atau amalan yang mempunyai unsur kerohanian perlu diteliti secara menyeluruh dan tidak hanya dinilai berdasarkan nama atau penampilan luaran.
Beliau berkata, terdapat kecenderungan sesetengah pihak menggabungkan amalan spiritualiti NAM dengan selawat, zikir atau ungkapan keagamaan Islam sehingga ia kelihatan seolah-olah selari dengan ajaran Islam.
“Kerajaan dan pihak berkuasa agama perlu melakukan pemantauan terhadap program, kursus dan kandungan digital yang secara jelas membawa dakwaan atau ajaran kerohanian yang berpotensi menjejaskan akidah.
“Jika terdapat unsur yang meragukan, ia hendaklah dikaji oleh pakar akidah dan pihak berautoriti sebelum sesuatu tindakan diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, NAM tidak semestinya hadir dalam bentuk agama atau ajaran yang tersusun malah menerusi program motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif, kandungan media sosial dan pelbagai aktiviti kerohanian.
Katanya, kebimbangan timbul apabila elemen NAM dimasukkan secara tidak disedari ke dalam program yang menggunakan imej, istilah atau bahasa dakwah Islam.
Jelasnya, kerajaan juga perlu menyediakan garis panduan atau parameter yang lebih jelas bagi membezakan antara amalan kesejahteraan yang bersifat neutral dengan amalan yang mempunyai unsur keagamaan, metafizik atau kepercayaan yang bercanggah dengan akidah.
Menurutnya, pemantauan juga perlu diperluaskan terhadap kandungan digital yang menggunakan terma berkaitan elemen ketenangan terutama apabila ia dikaitkan dengan kuasa ghaib atau keupayaan manusia menentukan sesuatu melalui kekuatan fikiran semata-mata.
Bagaimanapun, beliau berkata, masyarakat juga perlu diberikan kefahaman bahawa tidak semua bentuk meditasi, teknik pernafasan, rawatan alternatif atau program pembangunan diri boleh dilabel sebagai NAM.
“Penilaian perlu dibuat berdasarkan falsafah, kepercayaan dan amalan yang terkandung dalam sesuatu program bagi menentukan sama ada ia mempunyai unsur yang bercanggah dengan ajaran Islam.
“Selain itu, kerajaan melalui agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jabatan agama negeri dan jabatan mufti perlu memperbanyakkan program penerangan bagi membantu masyarakat mengenal pasti ciri-ciri NAM,” katanya. – UTUSAN











