GLIC melabur dalam sektor penjagaan warga emas hadapi cabaran negara menua - Utusan Malaysia

GLIC melabur dalam sektor penjagaan warga emas hadapi cabaran negara menua

AMIR Hamzah (tengah) bersama barisan dif kehormat semasa pelancaran Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 (ISWC2026) di Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kini memperluas portfolio pelaburan dengan memberi tumpuan secara khusus kepada sektor ekonomi penjagaan warga emas bagi mendepani cabaran negara menua. 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah strategik tersebut penting bagi memastikan ekosistem sokongan tempatan sedia menerima perubahan demografi masyarakat Malaysia yang kini mempunyai jangka hayat lebih panjang.

“Dalam perbincangan bersama GLIC, kita menggalakkan mereka melihat keutamaan nasional dan melabur dalam sektor yang relevan dengan agenda negara. Bagi ekonomi penuaan, sebahagian pelaburan GLIC difokuskan kepada syarikat yang menyediakan perkhidmatan serta penyedia tenaga kerja penjagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah ini membolehkan kepakaran dalam sektor penjagaan warga emas diiktiraf sebagai satu cabang ekonomi yang penting. Pada masa sama, agensi persaraan seperti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) turut bekerjasama rapat bagi menyokong kemudahan serta perkhidmatan berkaitan untuk pesara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 (ISWC2026) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amir berkata, GLIC dan GLC terus memainkan peranan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi domestik menerusi komitmen pelaburan tambahan sebanyak RM120 bilion di bawah inisiatif GEAR-uP bagi tempoh lima tahun.

Katanya, sasaran pelaburan berkenaan kini sudah mula menterjemahkan hasil di peringkat akar umbi apabila sekitar RM20 bilion telah disalurkan pada tahun lalu, manakala jumlah yang hampir sama dijangka dilaburkan pada tahun ini merentasi sektor strategik selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).

“Pendekatan pelaburan ini bukan sahaja tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi secara makro menerusi ‘menaikkan bumbung’ (lifting the ceiling), tetapi turut memberi fokus kepada agenda ‘menaikkan lantai’ (lifting the floor) bagi memastikan limpahan ekonomi dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Menerusi pendekatan ini, GLIC dan GLC telah berganjak daripada sekadar mematuhi gaji minimum kepada pelaksanaan gaji wajar berteraskan penanda aras RM3,100 sebulan. Sejak awal tahun ini, lebih 92 peratus GLC di bawah GLIC telah mengamalkan kadar gaji wajar tersebut,” katanya.

Menurut beliau, tindakan GLC berkenaan secara tidak langsung memberi isyarat dan persaingan sihat kepada sektor swasta supaya membayar gaji yang setimpal dengan peningkatan produktiviti pekerja tempatan.

Jelasnya, bagi menyokong keperluan tenaga kerja dalam pelbagai sektor baharu termasuk ekonomi penjagaan, kerajaan dengan kerjasama GLIC dan GLC turut melancarkan program Bakat Madani.

“Program Bakat Madani ini sebagai jambatan yang menghubungkan kira-kira 25,000 graduan universiti serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi latihan amali dan pemerkasaan kemahiran bagi tahun ini dan tahun depan.

“Ini membolehkan kita membina asas bakat yang lebih kukuh dan bersedia apabila struktur ekonomi negara menjadi semakin kompleks,” katanya.

Dalam pada itu, beliau beri jaminan bahawa isu penjagaan warga emas, kualiti hidup pesara serta agenda penambahbaikan gaji akan terus menjadi keutamaan yang dipertimbangkan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan pada Jumaat depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×