Malaysia perlu kuasai harta intelek, bukan sekadar hasil kandungan kreatif - Utusan Malaysia

Malaysia perlu kuasai harta intelek, bukan sekadar hasil kandungan kreatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Malaysia perlu beralih daripada sekadar menghasilkan kandungan kreatif kepada memiliki harta intelek (IP) yang mampu dilesen, diedar, diadaptasi dan dikomersialkan di pelbagai platform bagi mencipta nilai jangka panjang kepada negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pemilikan IP menjadi persoalan utama yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuh Ekonomi Jingga atau sektor ekonomi kreatif negara.

Beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya berpuas hati sekadar menyumbang sebahagian kecil kepada produk milik pihak lain, sebaliknya perlu membina pemilikan terhadap watak, dunia, cerita, format, teknologi dan jenama yang mampu menjana nilai secara berterusan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Nilai jangka panjang terletak pada watak, dunia, cerita, format, teknologi dan jenama yang boleh dilesenkan, diedarkan, diadaptasi dan dikomersialkan merentasi pelbagai platform.

“Justeru, hasil ciptaan Malaysia bukan sekadar perlu dilihat dunia, tetapi mesti mencipta nilai berpanjangan untuk Malaysia,” katanya ketika berucap pada Program KL20 at Johor 2026: The Orange Economy Chapter–Creativity Reimagined di Iskandar Malaysia Studio, di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, Ekonomi Jingga yang merangkumi sektor seperti filem, televisyen, animasi, permainan, muzik, reka bentuk, kesan visual, produksi maya, kandungan digital dan teknologi kreatif, kini mempunyai asas ekonomi yang signifikan.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri budaya dan kreatif menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara serta menjana nilai ditambah kasar sebanyak RM130.7 bilion pada 2024.

“Ini adalah asas ekonomi yang wajar diberikan perhatian sama serius seperti sektor pertumbuhan strategik lain dan kita sudah memasukkan Ekonomi Jingga dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Beliau berkata, keutamaan seterusnya adalah membangunkan rantaian nilai lengkap daripada penghasilan karya kepada pembiayaan, pembangunan bakat, pemilikan IP, pengedaran, eksport dan pengkomersialan.

Menurutnya, kejayaan industri kreatif juga dapat dilihat menerusi perkembangan filem tempatan apabila kutipan box office yang sebelum ini sekitar RM6 juta kini mampu menghampiri RM90 juta.

Katanya, kejayaan syarikat animasi tempatan di pasaran antarabangsa termasuk karya seperti Upin & Ipin, Mechamato, Ejen Ali dan BoBoiBoy membuktikan idea dari Malaysia mampu mencipta nilai menerusi pelesenan kandungan, barangan dagangan dan peluasan pasaran.

“Ini menunjukkan idea dari Malaysia boleh mencipta nilai, bukan sahaja melalui kandungan tetapi juga menerusi pelesenan, barangan dagangan dan pengembangan ke pasaran lebih luas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×