PETALING JAYA: Impian skuad sepak takraw negara untuk merangkul pingat emas acara regu lelaki tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Mizuho Park itu, Malaysia yang menurunkan Mohamad Azlan Alias, Aidil Aiman Azwawi dan Mohamad Syahir Mohd Rosdi cuba memberikan tentangan, namun Thailand tampil lebih kemas untuk menguasai set pertama 15-9.
Ketinggalan satu set menyaksikan jurulatih negara melakukan pertukaran dengan memasukkan Muhammad Zulkifli Abd Razak sebagai tekong dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali di posisi apit kanan, namun perubahan itu nyata tidak memberi impak seperti diharapkan.
Thailand terus mengawal permainan pada set kedua, sekali gus menyukarkan Malaysia mengembangkan rentak sebelum lawan menutup perlawanan dengan kemenangan 15-8.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala Thailand mempertahankan pingat emas selepas menampilkan permainan lebih kemas dan konsisten sepanjang perlawanan.
Bagi Golden Tigers, pingat perak tetap menjadi pencapaian terbaik selepas mereka bangkit menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi separuh akhir, termasuk kemenangan dua set berturut-turut selepas ketinggalan pada set pembukaan.-UTUSAN











