PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Perdana Menteri berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Anwar, beliau bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Almarhumah Dr Siti Hasmah yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi tadi.
“Ingatan dan doa saya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini. Semoga Allah mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
“Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Almarhumah,” katanya.
Dr. Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 9.20 pagi tadi.
Berita kematian isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.-UTUSAN











