Sungai Pahang jadi sumber rezeki Amin lebih 20 tahun

Sungai Pahang jadi sumber rezeki Amin lebih 20 tahun

MOHD. Amin Othman menjual pelbagai spesies ikan Sungai Pahang di Pekan Sehari bandar Jerantut di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

​JERANTUT: Seorang nelayan sungai membuktikan usaha gigih meneroka rezeki di dasar Sungai Pahang mampu membesarkan dan membiayai pe­ngajian anak hingga ke peringkat universiti.

​Selama 20 tahun menjadi ‘pemburu’ ikan air tawar di sekitar Kampung Besul dan Kuala Tembeling di sini, Mohd. Amin Othman, 52, tidak pernah patah semangat biarpun kadangkala terpaksa berdepan cabaran ketidaktentuan cuaca serta arus sungai yang sukar diramal.

“Bukan setiap hari saya memperoleh hasil tangkapan ada ketikanya pulang tangan kosong kerana keadaan air sungai naik selepas hujan, arus deras dan begitu juga berdepan musim kemarau,” katanya kepada Utusan Malaysia di Pekan Sehari bandar Jerantut, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohd. Amin yang mempu­nyai tiga anak berkata, lazimnya dia dan nelayan sungai di situ mula menempuh musim tengkujuh antara Oktober hingga Disember sekali gus menyebabkan hasil tangkapan ikan merosot kerana paras air sungai me­ningkat dan arus deras.

Katanya, hasil tangkapan se­perti ikan jelawat, patin buah, tenggalan, lawang, ke­nerak dan ikan kerai antara yang banyak di habitat Sungai Pahang dan mendapat permintaan tinggi.

“Ikan Sungai Pahang dan Sungai Tembeling daerah ini mempunyai ramai penggemar malah dari luar sanggup bermalam di bandar ini untuk berbelanja di pekan sehari setiap hari Ahad. Lazimnya, ada yang membuat tempahan awal termasuk pengusaha restoran,”katanya.

Sementara itu, isterinya, Maimun Md. Adam, 49, berkata, hasil tangkapan sungai dikumpulkan dan disimpan dalam peti sejuk sebelum dijual di Pekan Sehari di Jerantut setiap hari Ahad.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×