TEMERLOH: Seorang bilal masjid sempat berbual dengan penduduk sebelum dia dilaporkan hilang dihanyut arus deras di Sungai Pahang dekat Kampung Peragap di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Samsul Azmi Ishury, 41, yang juga bilal dua di Masjid Lipat Kajang, di sini, dikatakan berenang ke tengah sungai namun hanyut dibawa arus deras ketika cuba berpatah balik ke tebing.
Kakak mangsa, Normazita, 42, berkata, keluarganya menerima panggilan daripada ketua kampung memaklumkan kejadian menimpa adiknya kira-kira pukul 6.50 petang.
“Saya terus ke lokasi kejadian dan apabila tiba disana, penduduk menyerahkan barang-barang peribadi milik adik saya yang ditinggalkan disangkar ikan milik penduduk. Motosikalnya juga ada ditinggalkan ditepi jalan sebelum dia turun ke sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Normazita, anak kedua daripada empat beradik itu tidak berkahwin dan hanya bekerja kampung mengambil upah melakukan pelbagai kerja selain tinggal berdua dengan ibunya.
“Dia memang seorang yang pendiam namun kebiasaannya dia akan beritahu ibu jika hendak ke mana-mana. Semalam, dia tidak beritahu hendak ke sungai, malah sehari sebelum kejadian dia nampak banyak diam dan tidur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Mohd. Kamarudin Mohd. Saufi berkata, pihaknya kini meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara dipermukaan air dan juga didasar dengan bantuan unit selaman Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin, di sini. – UTUSAN










