ALOR SETAR: Jenama kesihatan dan kesejahteraan tempatan, EMZI Care memperluas pasaran antarabangsa menerusi kerjasama strategik dengan syarikat perdagangan yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), MASA for Trade and Marketing LLC.
Kerjasama itu dimeterai menerusi satu Memorandum Perjanjian (MoA) serta satu Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan EMZI Holding Sdn. Bhd. dengan MASA, selain satu MoA antara EMZI Health Science Sdn. Bhd. dengan syarikat iu.
Dalam MoA berkenaan, EMZI Holding diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Abdul Fattah Md Eusoff dan EMZI Health Science mewakilkan Ahli Lembaga Pengarahnya, Muhamad Sofi Hashim sementara Pengasas dan Ahli Lembaga Pengarah MASA, Dr. Saher Ali Mohmmad Al-Sabbah mewakili syarikat itu.
Pemeteraian tersebut berlangsung bersempena penyertaan EMZI Care dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, baru-baru ini.
Menurut Abdul Fattah, kerjasama itu dijangka membantu jenama EMZI Care memperluas jaringan pemasaran dan pengedaran ke negara-negara Teluk yang lain, selain meneroka peluang baharu di rantau lain yang sedang dikaji bersama.
“Peranan EMZI Holding dalam kerjasama ini meliputi aspek perdagangan dan pengedaran, manakala EMZI Health Science pula akan memfokuskan kepada pembekalan produk dan jaminan kualiti,” katanya.
Ujar Abdul Fattah, produk EMZI Care kini telah menembusi beberapa pasaran antarabangsa termasuk UAE, Arab Saudi dan Oman.
Katanya, usaha pengembangan turut diperkukuh menerusi penyertaan syarikat dalam beberapa acara perdagangan antarabangsa termasuk Gulfood 2026 di Dubai pada Januari lalu dan Makkah Halal Forum pada 14 hingga 16 Februari 2026.
“EMZI Care turut dijadual menyertai The Saudi Food Show pada 28 hingga 29 September ini di Arab Saudi sebagai sebahagian usaha memperkenalkan rangkaian produk kami serta membina jaringan dengan pemain industri dan bakal rakan niaga antarabangsa.
“Kerjasama terbaharu ini sekali gus mencerminkan usaha EMZI Care untuk menjadikan pasaran luar negara sebagai salah satu saluran pertumbuhan, selain memperluas akses produk kesihatan dan kesejahteraan keluaran Malaysia ke pasaran global,” katanya. – UTUSAN











