BAGHDAD: Kerajaan Iraq sedang berunding dengan Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan pengecualian daripada larangan terhadap syarikat penerbangan Iran yang menjejaskan perjalanan pesakit, pelajar dan jemaah.
Semua lapangan terbang Iraq menguatkuasakan larangan itu minggu ini, menyebabkan gangguan besar di lapangan terbang Najaf, yang menjadi destinasi utama penerbangan dari Iran ke Iraq.
“Kerajaan Iraq sedang mengadakan rundingan secara langsung dengan pihak AS bagi mengecualikan lapangan terbang tertentu di Iraq daripada langkah berkenaan,” menurut pejabat media Perdana Menteri Iraq.
Pengecualian itu membolehkan penerbangan disambung semula atas alasan kemanusiaan, termasuk bagi mendapatkan rawatan perubatan, pendidikan, lawatan ke tempat suci serta kepentingan orang awam, menurut kenyataan itu.
Syarikat penerbangan Iran kebanyakannya membawa jemaah Syiah Iraq ke bandar suci di Iran atau rakyat Iran yang mengunjungi tempat suci di Iraq.
Penerbangan berkenaan turut digunakan pelajar Iraq yang menuntut di Iran serta pesakit yang mendapatkan rawatan perubatan di negara itu.
Beberapa rakyat Iraq memberitahu AFP, penguatkuasaan sekatan AS menyebabkan mereka terpaksa mencari alternatif, dengan sebahagian daripada mereka bimbang kehilangan akses kepada rawatan di Iran, manakala yang lain terkandas di negara itu dan terpaksa menempuh perjalanan darat lebih 12 jam untuk pulang.
Iraq menyertai beberapa negara lain termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam menguatkuasakan larangan AS itu selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berkata syarikat penerbangan Iran akan ‘ditutup’ pada Rabu lalu.
Hubungan antara Iraq dan negara jirannya, Iran, telah lama terjalin rapat atas faktor hubungan keagamaan serta kepentingan politik dan ekonomi.
Syarikat penerbangan Iraq menghentikan penerbangan ke Iran pada awal tercetusnya perang di Asia Barat pada Februari lalu.- AFP











