GADEK: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, S. Nadarajah bukanlah nama baharu dalam kerja-kerja kemasyarakatan apabila sudah lebih 20 tahun menabur bakti dan membantu penduduk di sini.
Pengalaman luas Nadarajah dalam mendekati masyarakat dan memahami permasalahan penduduk menjadi antara kelebihan dimilikinya.
Beliau dikenali sebagai seorang yang mudah didekati, merendah diri dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Meskipun pertama kali diketengahkan sebagai calon pilihan raya, khidmatnya kepada penduduk setempat sudah lama terbukti menerusi pelbagai aktiviti khidmat masyarakat.
Nadarajah berkata, kesediaan mendengar, memahami dan menyelami permasalahan rakyat menjadi pegangannya dalam usaha memastikan setiap keluhan penduduk tidak dipandang ringan.
Beliau berkata, seseorang wakil rakyat perlu memiliki kesabaran untuk mendengar setiap aduan masyarakat, termasuk teguran yang disampaikan dalam keadaan marah atau beremosi.
Menurutnya, setiap luahan penduduk perlu diterima secara terbuka kerana di sebalik kemarahan itu mungkin terdapat permasalahan yang sekian lama belum mendapat penyelesaian.
Katanya, tugas seorang wakil rakyat bukan sekadar mendengar aduan, sebaliknya memahami punca sesuatu masalah sebelum mencari jalan terbaik untuk membantu mereka yang terkesan.
“Walaupun kadang-kadang ada penduduk marah, kita perlu mendengar kerana kemarahan itu bukan ditujukan kepada kita sebaliknya berpunca daripada perkara yang mereka tidak dapat, tidak capai atau belum dapat ditunaikan.
“Bagi menangani semua ini dengan berkesan wakil rakyat perlu jadi rakyat,” katanya ketika ditemui.
Nadarajah yang juga Timbalan Pengerusi MIC Melaka berdepan saingan empat penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), K. Jegasilan; calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), B. Laveen dan calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Laila Norinda Maon.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, BN melalui Datuk VP. Shanmugam merampas semula Gadek daripada PH dengan majoriti 599 undi. – UTUSAN











