SMKA Jempol bakal jadi sekolah aliran agama TVET pertama negara

SMKA Jempol bakal jadi sekolah aliran agama TVET pertama negara

FADHLINA Sidek (tengah) melakukan gimik pecah tanah projek SMKA Jempol hari ini. - BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Jempol di Negeri Sembilan bakal menjadi sekolah aliran agama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertama negara.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, sekolah berkenaan dibina dengan kos RM98 juta di atas tapak seluas 14.22 hektar bagi tempoh tiga tahun menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). 

“Kalau sebelum ini TVET hanya di kolej vokasional ataupun sekolah-sekolah biasa, tapi kita akan bawa model TVET ini ke SMKA ini. Jadi SMKA Jempol, insya-Allah akan menjadi SMKA pertama menggunakan ataupun membawa model sekolah agama TVET.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berharap projek ini dapat disiapkan ikut tempoh ditetapkan dan kita boleh segera bangunkan pendidikan TVET memenuhi keperluan bukan sahaja keperluan industri, tetapi juga keperluan negara ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol di sini hari ini.

Fadhlina berkata, sekolah berasrama penuh itu dilengkapi dengan blok pentadbiran dan akademik dengan 25 bilik darjah, selain makmal, bengkel, perpustakaan, dewan, kantin dan surau, kemudahan lain, serta asrama yang boleh memuatkan 720 murid.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelajar sekolah agama di negara ini juga digalakkan untuk menguasai pelbagai bahasa sebagai medium penting memperkukuh agenda dakwah yang lebih berkesan.  

Mengambil contoh SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin di Pulau Pinang yang diangkat sebagai ‘Sekolah Dakwah’ pertama di Malaysia, Fadhlina berkata, pelajarnya diberi pendedahan menguasai bahasa Cina, Tamil, Inggeris dan Arab di samping bahasa Melayu.  

“Anak-anak sekolah agama ini dah pastinya mereka akan menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Dalam masa yang sama, mereka juga mesti diberikan penekanan tentang bahasa-bahasa lain.  

“Kita melihat ada keupayaan anak-anak ini untuk menguasai lebih daripada satu bahasa. Bahasa adalah antara lenggok yang mesti dikuasai untuk menyampaikan soal-soal yang terkait dengan dakwah, dan penerangan-penerangan tentang Islam secara lebih berkesan,” katanya.

Fadhlina berkata kementerian juga memberikan penekanan terhadap pembentukan sahsiah, nilai amanah dan integriti dalam kalangan murid bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran semasa.

Beliau berkata pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya merangkumi pembangunan intelektual, pembudayaan membaca serta pemupukan kepimpinan berintegriti. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×