JAKARTA: Jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah yang menyelubungi Sampit menyebabkan Pemerintah Daerah Kotawaringin Timur, Kalimantan Tengah meminta sekolah supaya tidak memaksa pelaksanaan pembelajaran secara bersemuka.
Pemangku Setiausaha Daerah Kotawaringin, Diana Setiawan menegaskan kesihatan murid dan tenaga pengajar perlu menjadi pertimbangan utama.
Jika keadaan udara semakin buruk, sekolah diminta mengalihkan pembelajaran ke rumah.
“Jika jerebu terlalu tebal atau sudah menjejaskan kesihatan anak-anak kita, maka mereka wajib belajar dari rumah. Sekarang zaman digital, jadi mereka boleh bersekolah dari rumah,” kata Diana pada Khamis.
Menurut Diana, pemerintah daerah sebelum ini pernah mengeluarkan saranan supaya sekolah ditutup apabila keadaan jerebu bertambah buruk.
Namun, berikutan terdapat kekangan dalam pelaksanaannya, keputusan teknikal mengenai pembelajaran akhirnya diserahkan kepada setiap sekolah.
“Pemerintah daerah sangat mengambil berat mengenai kesihatan. Ketika itu, sempat dikeluarkan saranan oleh Ketua Pemerintah Daerah supaya sekolah ditutup, tetapi disebabkan terdapat kekangan dengan dasar tersebut, akhirnya kita serahkan kepada pihak sekolah,” katanya.
Indonesia kerap berdepan kebakaran hutan ketika musim kering yang lazimnya berlangsung dari Julai hingga Oktober.
Namun, kebakaran tahun ini lebih hebat, berlaku serentak dengan fenomena iklim El Nino yang dijangka menjadi paling kuat sejak rekod perbandingan seumpamanya mula dicatat empat dekad lalu.
Pakar-pakar turut menyalahkan perubahan iklim, kemerosotan hutan selama beberapa dekad dan amalan pembersihan tanah secara tebang serta bakar telah mengubah landskap yang secara semula jadi tahan terhadap kebakaran. – AGENSI











