UPM, Himalaya perkukuh kerjasama penyelidikan herba

UPM, Himalaya perkukuh kerjasama penyelidikan herba

Kumaran (dua dari kiri) dan Dr Abd Rahim bertukar dokumen LOI bagi memeterai kerjasama dalam bidang penyelidikan, pengalaman industri dan pembangunan bakat di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Himalaya Wellness Malaysia membuka lembaran baharu dalam kerjasama penyelidikan herba, pembangunan bakat serta pendidikan menerusi Pertukaran Surat Hasrat (LOI) yang dimeterai hari ini.

LOI itu dimeterai sempena University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), dengan kedua-dua pihak akan meneliti projek berpotensi untuk dibangunkan melalui kerjasama berkenaan.

Pengurus Besar Kluster Himalaya Wellness bagi Malaysia, Singapura, Brunei dan Filipina, Kumaran Chandrasergaran berkata, tumpuan selepas LOI adalah mengenal pasti projek, menetapkan skop serta menentukan bentuk kerjasama sebelum ia dimuktamadkan menerusi perjanjian khusus atau Memorandum Persefahaman (MOU).

“LOI ini menjadi titik permulaan untuk kami bersama UPM mengenal pasti projek yang boleh dilaksanakan, termasuk penyelidikan membabitkan bahan berasaskan herba.

“Kami mahu setiap projek yang dipilih memberikan nilai kepada kedua-dua pihak, terutama dalam menghubungkan keperluan akademik dengan kepakaran industri,” katanya.

Pertukaran LOI itu disempurnakan Kumaran bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Ir Dr Abd Rahim Abu Talib yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof Dr Shamsul Bahri Md Tamrin.

Antara perkara yang bakal diteroka ialah penyelidikan dan pembangunan produk berasaskan herba, selain pengembangan kandungan akademik berkaitan perubatan komplementari di UPM.

Kumaran berkata, kerjasama itu turut membuka ruang kepada pelajar UPM menjalani latihan industri di Himalaya bagi membolehkan mereka memahami dengan lebih dekat operasi serta aplikasi ilmu dalam sektor berkenaan.

“Pelajar UPM akan mempunyai peluang menjalani latihan industri di Himalaya, sekali gus memberi mereka pendedahan praktikal yang lebih hampir dengan realiti alam pekerjaan,” katanya.

Sebahagian tetamu sempena majlis LOI antara Himalaya dan UPM di Kuala Lumpur.

Dalam aspek penyelidikan, bahan seperti semambu atau neem dan kunyit antara yang dikenal pasti untuk diterokai, namun bidang serta skop kajian masih perlu diperhalusi dan dipersetujui kedua-dua pihak.

Beliau berkata, potensi menghasilkan penerbitan akademik berdasarkan hasil penyelidikan herba juga akan dipertimbangkan selepas projek yang sesuai dikenal pasti dan dipersetujui bersama.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan kemudahan atau makmal UPM bagi menjalankan penyelidikan masih belum diputuskan kerana perkara itu sedang melalui perbincangan antara kedua-dua pihak.

Kerjasama berkenaan turut membuka peluang kepada Himalaya untuk terus terbabit dalam URIIS, di samping menghubungkan kepakaran penyelidikan UPM dengan pengalaman industri syarikat dalam sektor kesejahteraan berasaskan herba.

Selepas projek utama dipilih, kedua-dua pihak akan memperincikan skop kerja, tanggungjawab dan tempoh pelaksanaan sebelum kerjasama berkenaan dimuktamadkan menerusi perjanjian yang bersesuaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×