UPM perlu jadi peneraju keselamatan makanan – Zambry

UPM perlu jadi peneraju keselamatan makanan – Zambry

ZAMBRY Abd Kadir (tiga kanan) melakukan gimik Peluncuran Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia (UPM) 2026-2030 di UPM di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) perlu menjadi sebuah institusi pengajian yang menerajui dalam aspek keselamatan makanan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zamby Abd Kadir berkata, UPM mempunyai sejarah yang panjang dan ‘akar’ pertanian yang seharusnya terus dibajai.

Beliau berkata, masalah sekuriti makanan bukan dihadapi oleh Malaysia sahaja tetapi seluruh dunia, UPM perlu memainkan peranannya dalam usaha membantu negara menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya yakin kalau dibajai dan diluaskan lagi skopnya itu, tentunya universiti ini akan berperanan yang lebih besar kepada negara dalam memastikan supaya negara dapat menyelesaikan masalah sekuriti makanan yang sedang kita hadapi dan juga dunia hadapi pada hari ini.

“Saya termasuk yang bermimpikan agar UPM ini akan menjadi contoh kepada pembinaan sebuah agropolis. Dan saya fikir dalam pelan stratejik ini tentunya sudah ada cadangan untuk mewujudkan agropolis,” katanya dalam Majlis Peluncuran Strategik UPM 2026-2030 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Pelan Strategik UPM (PSUPM) 2026–2030 merupakan kompas hala tuju universiti dalam memperkukuh kecemerlangan institusi serta menangani cabaran utama negara dan dunia.

PSUPM 2026–2030 dibangunkan sebagai kesinambungan kepada Pelan Strategik UPM 2021–2025 dengan memberi penekanan kepada penciptaan impak yang nyata kepada negara, masyarakat dan dunia menerusi pendekatan berorientasikan misi.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, UPM perlu memanfaatkan persekitarannya termasuk Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang dianjurkan setiap dua tahun.

“Saudara ada di sini dari segi keluasan tanahnya, di sebelah sana ada MAHA setiap dua tahun. Bayangkan kalau saudara gabungkan dari segi keseluruhan ekosistem yang ada di sini.

“Tentunya UPM akan muncul antara universiti ternama dunia dari segi bagaimana keberhasilan kita menjadi sebuah bandar agropolis yang terkenal yang boleh dicontohi oleh banyak negara yang lain yang memerlukan rujukan dan atau contoh yang mungkin mereka boleh contohi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan syabas kepada usaha yang dibuat oleh UPM dalam merangka pelan tersebut.

“Semoga semua pelan ini dapat dilaksanakan dan dijayakan oleh setiap lapisan masyarakat terutama lagi setiap lapisan warga universiti kita.

Semoga pelan ini menjadi kompas yang memandu UPM menuju satu abad baharu yang lebih cemerlang, berdaya tahan, berdaya cipta dan berbakti kepada rakyat, negara serta kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×