Ibu terkilan anak meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh

Ibu terkilan anak meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh

SHARIFATUL Hapizah (kanan) bersama suaminya, Muhammad Zulkarnain Abdullah menunjukkan gambar Allahyarham Muhammad Faris yang maut selepas dipercayai dicederakan oleh pengasuh di Kampung Geting, Tumpat, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang ibu tidak menyangka pengasuh yang kelihatan baik ketika menjaga tiga anak termasuk seorang anak angkat menjadi suspek utama kes kematian anaknya di sebuah rumah di Kampung Tasek Gelugor, Pulau Pinang, kelmarin.

Dalam kejadian itu, Muhammad Faris Syazwan Muhammad Zulkarnain berusia 10 bulan, yang merupakan anak kedua kepada Sharifatul Hapizah Shaful Hamid, 34, meninggal dunia sebelum tiba di klinik.

Sharifatul Hapizah berkata, dia tidak pernah mengesyaki wanita berusia 25 tahun itu bertindak sedemikian kerana pengasuh tersebut sering menghantar gambar anaknya ketika minum susu dan makan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pengasuh itu juga pernah menghantar gambar kesan lebam di bahagian belakang pinggang anak bongsunya sebelum mendakwa kecederaan tersebut disebabkan perbuatan anak sulungnya, Muhammad Afiz Yusoff, 2.

“Selepas pulang ke rumah, saya baru menyedari terdapat kesan lebam di belakang pinggang dan pahanya.

“Apabila ditanya, pengasuh itu memaklumkan anak saya digigit abangnya. Saya mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena kerana wanita itu baru sebulan menjaga tiga anak saya, termasuk anak angkat berusia lapan tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah ibunya di Kampung Geting, di sini hari ini.

Sharifatul Hapizah berkata, dia hanya mengetahui keadaan anaknya selepas menerima panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan pengasuh berkenaan menghubunginya sebelum memaklumkan bayi itu berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

Katanya, dia yang ketika itu sedang bekerja di sebuah kilang di Tasek Gelugor meminta salah seorang rakan ke rumah pengasuh tersebut terlebih dahulu untuk melihat keadaan anaknya.

“Rakan saya bergegas membawa anak sata ke Klinik Kesihatan Sungai Dua, namun jururawat memaklumkan Muhammad Faris sudah meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat mengesahkan anak saya meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan pendarahan dalam otak,” katanya.

Menurutnya, dia sempat melihat anak bongsunya itu sedang tidur sehari sebelum kejadian dan tidak menyangka itu adalah saat terakhir bersama bayi berkenaan.

Katanya, dia sebelum ini ada memaklumkan kepada pengasuh berkenaan bahawa dia  bercadang berhenti kerja untuk menjaga sendiri anak-anaknya.

“Saya mengesyaki anak saya dicederakan pengasuh berkenaan. Saya berharap keadilan dapat ditegakkan dan wanita itu menerima hukuman setimpal jika didapati bersalah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengasuh ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi lelaki berusia 10 bulan ketika berada dalam jagaannya di Seberang Perai Utara.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini