UPM tumpu pembangunan generasi baharu pertanian

UPM tumpu pembangunan generasi baharu pertanian

PROF. Dr. Arifin Abdu (tengah), bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai kemasukan pelajar baharu sesi akademik 2026/2027 di UPM, Serdang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh usaha melahirkan generasi baharu dalam bidang pertanian apabila seramai 1,349 pelajar baharu dijangka mengikuti pengajian dalam bidang agrobio dan berkaitan pertanian bagi sesi akademik 2026/2027.

Angka itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 4,824 pelajar baharu program bacelor yang dijangka mendaftar di UPM pada sesi berkenaan, melibatkan kampus di Serdang dan Sarawak, termasuk 194 pelajar di UPM Kampus Sarawak.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Arifin Abdu berkata, pengambilan pelajar dalam bidang agrobio dan berkaitan pertanian meningkat sebanyak 30 orang berbanding 1,319 pelajar pada 2025, membuktikan bidang pertanian kekal menjadi teras utama pengajian di universiti berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bidang pengajian yang ditawarkan meliputi pelbagai cabang pertanian, daripada sains dan kejuruteraan pertanian sehingga teknologi makanan serta bioteknologi.

“Antaranya Bacelor Sains Pertanian dengan Kepujian, Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian, Bacelor Sains dan Teknologi Makanan dengan Kepujian serta Bacelor Sains Bioteknologi dengan Kepujian,” katanya di Dewan Kolej Canselor, UPM di sini hari ini.

Selain memberi tumpuan kepada bidang pertanian, pengambilan sesi ini turut membuka laluan kepada 1,923 pelajar cemerlang daripada keluarga B40 untuk meneruskan pengajian di peringkat bacelor.

“Sembilan pelajar Orang Asli dan 10 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) turut dijangka mendaftar di UPM Kampus Serdang pada sesi ini, mencerminkan komitmen universiti terhadap pendidikan yang lebih inklusif.

“Pengambilan kali ini turut menyaksikan seramai 96 atlet negara ditawarkan tempat pengajian di UPM. Mereka mempunyai pengalaman menyertai kejohanan peringkat antarabangsa dalam pelbagai sukan termasuk olahraga, ragbi, bola jaring, gimnastik dan hoki,” katanya.

Menurut Arifin, atlet lompat jauh dan lompat kijang kebangsaan ke Sukan SEA 2025 sekali gus pemenang pingat emas SUKMA 2026, Alia Batrisya Nasaruddin, serta atlet skuasy negara ke Kejohanan WSF World Junior Squash, Anrie Goh Chu Yu merupakan mahasiswa UPM dari kalangan atlet

“Pemain ragbi negara yang menyertai Kejohanan Asia Rugby Emirates U20 Sevens serta pemain bola jaring kebangsaan yang beraksi pada Netball World Youth Cup 2025.

“Alia Batrisya dan kebanyakan pemain ragbi berkenaan dijangka mengikuti program Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani) dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Pendidikan, manakala Anrie pula akan mengikuti program Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian di fakulti yang sama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kebanyakan pemain bola jaring kebangsaan turut melanjutkan pengajian dalam program Bacelor Komunikasi dengan Kepujian di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

Pendaftaran pelajar baharu program bacelor bagi sesi akademik 2026/2027 bermula hari ini, melibatkan UPM Kampus Serdang, Selangor dan UPM Sarawak.

Katanya, pelajar baharu itu seterusnya akan mengikuti Minggu Perkasa Putra (MPP) selama tujuh hari bermula 28 September sehingga 4 Oktober ini, yang diisi dengan pelbagai aktiviti bagi memulakan kehidupan sebagai mahasiswa UPM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×