TUMPAT: Keselamatan lebih 1,000 penduduk di sini, terancam susulan tebing jalan tali air Kok Serai di Kampung Kok Serai, Pengkalan Kubor runtuh menyebabkan laluan berkenaan semakin berbahaya kepada pengguna.
Lebih membimbangkan, laluan sempit itu menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting selain digunakan penduduk ke Kampung Tujoh, Pak Krai dan Belukar.
Penduduk mendakwa, keruntuhan tebing itu berlaku akibat kenderaan berat yang menggunakan laluan berkenaan.
Seorang penduduk, Mat Daud Yusof, 59, berkata, risiko keselamatan semakin tinggi terutama apabila motosikal dan kereta terpaksa berselisih di laluan yang tebingnya runtuh di kedua-dua belah.
“Jalan ini sempit, tebing jalan pula runtuh di kedua-dua belah laluan. Setiap kali berselisih dengan kenderaan lain, jika tidak berhati-hati tayar kenderaan boleh tergelincir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, Marlina Shamsudin, 30, berkata, keadaan lebih berbahaya pada waktu malam kerana kawasan tersebut gelap.
Katanya, dia yang memandu kereta sentiasa berhati-hati setiap kali melalui simpang jalan berkenaan kerana laluan itu sempit dan hanya boleh dilalui secara selorong.
“Jalan sempit hanya muat untuk laluan selorong. Tebing jalan yang runtuh itu semakin luas, risau juga tayar kereta saya terjatuh tebing,” ujarnya.
Marlina berkata, masalah berkenaan sudah lama berlarutan dan penduduk berharap ia dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Penghulu Kampung Tujoh, Roshdi Ramli berkata, masalah tebing jalan tali air runtuh itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sudah turun padang pada 25 September tahun lepas untuk melihat masalah tebing jalan tali air Kok Serai berkenaan.
“Saya berharap tindakan segera dapat dilakukan kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk,” katanya. – UTUSAN











