'Saya pusing, nampak harimau tarik bapa'

‘Saya pusing, nampak harimau tarik bapa’

JENAZAH Zamberi Angah di Hospital Sungai Siput hari ini selepas bedah siasat terhadap lelaki Orang Asli itu yang maut diserang harimau semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Anak kepada mangsa serangan harimau belang di Kampung Takung, Pos Perwor di sini semalam, tidak dapat melupakan jeritan bapanya yang diserang haiwan liar itu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Joe Zamberi, 23, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika dia dan bapanya baru selesai mencari hasil hutan selepas memasuki kawasan berkenaan kira-kira pukul 8 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian dia berjalan di hadapan manakala bapanya berada di belakang sebelum terdengar jeritan mangsa.

“Saya dengar bapa menjerit, apabila saya pusing ke belakang, saya lihat harimau telah tarik bapa saya pergi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Siput, di sini hari ini.

Menurutnya, dia yang ketakutan tidak berani mendekati haiwan berkenaan sebaliknya terus melarikan diri ke kampung untuk mendapatkan bantuan penduduk.

Katanya, harimau berkenaan bersaiz besar dan kejadian itu merupakan pengalaman pertama dia berdepan serangan haiwan berkenaan.

“Saya takut dan terus berlari panggil orang kampung. Waktu itu saya rasa mahu menangis sebab takut,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas hubungannya dengan bapa, Joe yang sukar menahan sebak ketika mengenangkan kejadian itu berkata, mereka sememangnya sangat rapat.

Media sebelum ini melaporkan, mayat lelaki Orang Asli, Zamberi Angah, 43, ditemukan pada pukul 6.58 petang semalam di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi yang dipercayai berlaku serangan.

Pemeriksaan di lokasi turut menemukan kesan tapak kaki harimau belang serta kesan gigitan pada leher mangsa, selain beberapa petunjuk lain termasuk kesan pergelutan, seretan dan darah di sekitar lokasi penemuan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×