Gaji minimum dinaikkan secara berkala, ambil kira pertumbuhan ekonomi,inflasi

Gaji minimum dinaikkan secara berkala, ambil kira pertumbuhan ekonomi,inflasi

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir (tengah) bergambar bersama warga kementerian selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kadar gaji minimum akan terus disemak secara berkala selaras dengan pertumbuhan ekonomi, keadaan inflasi dan komitmen kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, semakan kadar gaji minimum perlu dilaksanakan secara berkala dalam memastikan peningkatan pendapatan pekerja bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi.

Katanya, aspek inflasi turut perlu diberi perhatian kerana peningkatan gaji perlu mengambil kira kos sara hidup bagi memastikan pertumbuhan pendapatan memberi pulangan yang sewajarnya kepada rakyat.

“Komitmen dari segi pelaksanaan gaji minimum, semakan itu dibuat secara berkala dan sudah pasti ruang yang ada ini dalam keadaan pertumbuhan ekonomi itu berlaku dengan baik.

“Pada masa yang sama, kita kena bergerak seiring dengan juga apa komitmen yang dinyatakan dalam RMK13,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, di sini, hari ini.

Menurutnya, pertumbuhan gaji juga perlu dilihat bersama kadar inflasi supaya peningkatan pendapatan tidak terhakis akibat kenaikan kos sara hidup.

Katanya, walaupun gaji median meningkat pada 2025, bacaan berkenaan perlu diteliti bersama inflasi bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai pertumbuhan pendapatan pekerja.

“Kalau gaji median tadi sekitar RM2,940, tetapi sudah pasti bacaan itu juga kita kena teliti secara bersama dalam soal kos sara hidup termasuk inflasi.

“Dari segi statistiknya kita boleh keluarkan angka yang dipanggil gaji benar yang mana masih menunjukkan peningkatan sekitar 3.3 peratus dalam RM2,104,” katanya.

Menurutnya, kadar inflasi yang tidak terkawal boleh menjejaskan manfaat daripada peningkatan gaji yang diterima pekerja.

“Kita masih berpegang kepada sasaran seperti mana yang Bank Negara nyatakan untuk tahun 2026, inflasi itu dijangka sekitar 1.5 hingga 2.5 peratus,” katanya.

Terdahulu, Bank Negara melaporkan, kadar inflasi bagi Ogos lalu direkodkan pada 1.9 peratus berbanding 1.8 peratus pada bulan sebelumnya dengan mata indeks mencatatkan 137.5 daripada 134.9 pada Ogos 2025.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum perlu dilihat bersama usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Perkara-perkara ini perlu datang bersekali termasuk mengurangkan pekerja asing.,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan berkaitan kadar gaji minimum merupakan pendekatan keseluruhan kerajaan dan akan diteliti bersama oleh anggota Jemaah Menteri.

“Bila sebut gaji minimum ini, ia adalah pendekatan keseluruhan kerajaan dan perkara ini sudah pasti adalah penelitian bersama oleh keseluruhan anggota Jemaah Menteri. Tetapi perkara ini bergerak secara berkala,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×