BERA: Sebuah Jawatankuasa Pemulihan Segera perlu ditubuhkan bagi menyelamatkan Tasik Bera daripada kemusnahan lebih serius susulan pencerobohan besar-besaran di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasik Bera yang diiktiraf sebagai Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama negara itu.
Jawatankuasa itu perlu menjadi badan penyelaras utama untuk memperkemas pemetaan sempadan, rondaan bersepadu serta tindakan undang-undang terhadap pihak yang menceroboh kawasan berkenaan.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Profesor Dr. Ahmad Ismail berkata, kawalan dan penguatkuasaan juga perlu diperkukuh dengan penggunaan teknologi satelit dan dron secara masa nyata, selain memperjelas zon penampan serta sempadan fizikal menerusi pemetaan digital.
Katanya, pencerobohan HSK untuk kegiatan komersial, membuktikan masih terdapat kelemahan dalam aspek kawalan, pendidikan dan penguatkuasaan yang perlu ditangani segera.
“Tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi penting selepas operasi bersepadu baru-baru ini mendedahkan wujudnya sindiket luar yang dipercayai memperalatkan isu tanah adat Orang Asli untuk tujuan eksploitasi komersial.
“Penerokaan sehingga 1,000 ekar dengan hanya melibatkan enam rumah Orang Asli menunjukkan skala kegiatan itu perlu diteliti secara serius.
“Ini bukan lagi sekadar aktiviti sara hidup, sebaliknya menunjukkan kemungkinan berlaku eksploitasi berskala besar. Keadaan ini mencabar keberkesanan kawalan dan rondaan sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ahmad berkata, operasi bersepadu pada 14 September lalu membabitkan 160 anggota pelbagai agensi merupakan langkah penting, namun perlu dijawab mengapa amaran awal yang dibangkitkan sejak 17 Februari 2025 tidak disusuli tindakan pencegahan lebih tuntas.
Kelmarin, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali dilaporkan berkata, lebih 7,000 hektar kawasan HSK Tasik Bera diteroka secara haram untuk tanaman sawit, getah dan pelbagai tanaman kontan.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, kawasan yang sudah digondol perlu segera dipulihkan menerusi penanaman semula spesies asal tanah lembap berdasarkan kajian pakar hidrologi bagi mengurangkan risiko pencemaran, termasuk akibat penggunaan baja kimia di kawasan pertanian berhampiran.
Katanya, komuniti Orang Asli Semelai juga wajar dilibatkan sebagai Renjer Komuniti dan pemandu ekopelancongan menerusi Program Komunikasi, Pendidikan, Penyertaan dan Kesedaran (CEPA) secara berterusan.
“Pada masa sama, institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan perlu digerakkan untuk menjalankan kajian mendalam berkaitan ekologi, tumbuhan ubatan, hidrologi dan inovasi ekopelancongan.
“Semua langkah ini penting supaya pemulihan Tasik Bera tidak bersifat sementara, sebaliknya mampu menjamin kelestarian ekosistem berkenaan untuk jangka panjang,” katanya. – UTUSAN











