PETALING JAYA: Cabaran akses kesihatan dalam kalangan migran tanpa dokumen perlu segera diselesaikan bagi membendung risiko kemunculan klinik tidak berdaftar yang boleh mengancam keselamatan pesakit dan kesihatan awam.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Sivanaesan Letchumanan berkata, kebimbangan terhadap tindakan penguat kuasa boleh menyebabkan sebahagian migran tanpa dokumen enggan mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdaftar, sekali gus mendedahkan mereka kepada penyedia perkhidmatan kesihatan haram.
“Kerajaan perlu segera menangani cabaran akses kesihatan yang dihadapi migran tanpa dokumen.
“Ketakutan untuk berhubung dengan pihak penguat kuasa boleh menyebabkan sesetengah daripada mereka tidak mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdaftar, sebaliknya terdedah kepada penyedia perkhidmatan kesihatan haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Sivanaesan berkata, penemuan terbaharu klinik disyaki haram bersama rampasan ubat dan peralatan perubatan tidak berdaftar amat membimbangkan, terutama apabila operasi seumpama itu turut dikesan pada awal tahun ini.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan bagi menghalang operasi berkenaan daripada kembali beroperasi di lokasi lain.
“Penggunaan ubat, suntikan, antibiotik dan peralatan perubatan tidak berdaftar oleh individu yang tidak berkelayakan atau tidak berdaftar mendatangkan risiko serius kepada pesakit dan kesihatan awam.
“Penggunaan antibiotik secara tidak wajar amat membimbangkan kerana ia boleh menyumbang kepada kerintangan antimikrob yang mengancam populasi secara lebih meluas,” katanya.
Menurut beliau, perkhidmatan kesihatan hanya boleh diberikan oleh pengamal yang berkelayakan dan berdaftar di premis yang berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan, selain menggunakan ubat serta peralatan perubatan yang diluluskan.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) turut menegaskan perkhidmatan kesihatan hanya boleh disediakan di premis yang berdaftar atau dilesenkan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
“MMA menggesa penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih tegas, berterusan dan berasaskan risikan, termasuk pemeriksaan bersepadu terhadap premis yang disyaki serta pemeriksaan susulan secara berkala di lokasi yang sebelum ini didapati beroperasi secara haram.
“Penutupan sesebuah premis tidak seharusnya menjadi pengakhiran tindakan penguatkuasaan jika pengendali atau rangkaian sama boleh membuka operasi semula di tempat lain,” katanya.
Dr. Sivanaesan berkata, penguatkuasaan juga perlu menyasarkan rantaian bekalan, termasuk pihak yang membawa masuk ubat tidak berdaftar ke negara ini serta mereka yang dengan sengaja memudahkan pengedarannya.
Katanya, pemeriksaan lebih ketat juga perlu dilakukan di pintu masuk negara bagi menghalang ubat tidak berdaftar daripada memasuki Malaysia sejak awal.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak mempertaruhkan kesihatan semata-mata untuk menjimatkan kos kerana mendapatkan rawatan daripada individu tidak berkelayakan atau klinik haram boleh mengakibatkan kesan serius terhadap kesihatan dan kewangan.
“Sentiasa dapatkan rawatan daripada pengamal kesihatan yang berkelayakan dan berdaftar di premis kesihatan yang sah serta berdaftar,” katanya. – UTUSAN









